'Penembak di tempat duduk penumpang lepaskan dua tembakan' - Pemuda cedera di perut dan tangan

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 6, 2019 14:44 MYT
Nik Ros Azhan berkata, mangsa berada dalam keadaan stabil dan memaklumkan bahawa dia tidak mempunyai masalah dengan mana-mana pihak. - Foto PDRM
Seorang pemuda cedera di perut dan tangan selepas ditembak oleh individu yang tidak dikenali dalam kejadian di hadapan sebuah pangsapuri dekat Taman Inderawasih Perai, Pulau Pinang, awal pagi Ahad.
Dalam kejadian 2 pagi itu, mangsa yang berusia 26 tahun bersama empat rakannya sedang berbual di lokasi kejadian sambil duduk di atas motosikal.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika itu muncul sebuah kereta jenis Proton Waja yang mencurigakan menyebabkan rakan mangsa bertindak mengejar kereta terbabit namun pemandunya memecut laju.
“Mangsa yang pada ketika itu berada di atas motosikal miliknya membantu rakannya itu untuk mengejar pemandu kereta berkenaan tetapi tidak berhasil dan terus hilang dari pandangan.
“Pada masa sama datang pula sebuah kereta jenis Perodua Myvi memintas mangsa yang mana suspek di bahagian tempat duduk penumpang melepaskan dua tembakan ke arahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, tembakan itu mengenai bahagian lengan serta perut mangsa dan dia kini dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Nik Ros Azhan berkata, mangsa berada dalam keadaan stabil dan memaklumkan bahawa dia tidak mempunyai masalah dengan mana-mana pihak.
Setakat ini, pemeriksaan pihak polis dilokasi kejadian tidak menemui kelongsong peluru.
Dalam pada itu, semakan nombor pendaftaran dua kenderaan yang digunakan suspek adalah palsu.
Usaha memburu suspek terbabit giat dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
#cedera #cedera ditembak #pulau Pinak #Seberang Perai #suspek #tembakan
;