Penelitian terhadap Ustaz Don di peringkat akhir - MAIS

Bernama
Ogos 4, 2024 06:15 MYT
Jun lalu, MAIS dilaporkan mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid, surau dan musala bagi menangguhkan atau tidak membuat apa-apa undangan kepada Ustaz Don. - Gambar fail
KLANG: Perbincangan dan penelitian terhadap isu berkait penceramah bebas Don Daniyal Don Biyajid kini berada di peringkat akhir, kata Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
Abdul Aziz berkata pihaknya melalui Jawatankuasa Tauliah MAIS telah mengadakan pertemuan secara bersemuka bersama Don Daniyal atau lebih dikenali sebagai Ustaz Don selain selesai meneliti kenyataan bertulis berhubung fakta ceramah agama sebelum ini.
"Setakat ini saya belum menerima sebarang laporan rasmi ... pihak Jawatankuasa Tauliah sedang meneliti maklumat yang diterima dan juga pandangan ahli-ahli dan selepas itu satu pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Merasmikan Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2024 di sini hari ini.
Pada 25 Jun lepas, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dilaporkan mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid, surau dan musala bagi menangguhkan atau tidak membuat apa-apa tindakan mengundang Don Daniyal untuk mengajar apa-apa perkara tentang agama Islam di premis masing-masing.
Arahan itu dikeluarkan berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan oleh Don Daniyal disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.
Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata MAIS memperuntukkan sebanyak RM19.4 juta dari peruntukan zakat asnaf riqab tahun ini bagi menyediakan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan bantuan lain yang berkaitan.
Beliau berkata peruntukan itu disalurkan dalam bentuk geran kepada institusi dan program demi pemulihan golongan itu yang dilaksanakan oleh 26 Rumah Pemulihan Riqab di bawah MAIS dan tiga lagi Rumah Pemulihan lain.
Asnaf riqab merujuk kepada seseorang Muslim yang terbelenggu dengan masalah sosial dan akidah seperti penagihan dadah, sumbang mahram, homoseksual, transjantina, terpesong agama serta lain-lain pecahan dengan merujuk kepada fatwa negeri pada 2012.
-- BERNAMA
#Ustaz Don #MAIS #kontroversi #Selangor