Penduduk UUC kesal air tiada, bil pula melambung
Syah Hairizal Kamalul Arifin
November 18, 2021 11:25 MYT
November 18, 2021 11:25 MYT
KOTA KINABALU: Air tiada tetapi caj bil air semakin naik.
Demikian antara rungutan disuarakan penduduk University Utama Condominium (UUC) di Telipok, dekat sini, yang mengalami masalah bekalan air berlarutan sejak enam bulan lalu.
Mereka mendakwa, situasi bertambah buruk sejak seminggu lalu apabila bekalan air langsung terputus.
Penduduk yang ditemui memaklumkan, masalah itu telah beberapa kali diajukan kepada pihak pengurusan, namun tiada penjelasan munasabah diberikan.
"Kami hanya mahukan bekalan air bersih. Tolong beri jalan penyelesaian secepat mungkin.
"Sudah hampir seminggu tiada bekalan air di kawasan UUC ini. Ia sangat menyukarkan kami untuk melakukan aktiviti harian," kata salah seorang penghuni UUC, Ruby Raj.
Ruby, 35 tahun, berkata masalah gangguan bekalan air di kawasan itu semakin teruk sejak kira-kira enam bulan lalu.
Bagaimanapun, ibu kepada seorang cahaya mata itu mengakui, kebanyakan penduduk tetap bertolak ansur dengan keadaan ketika itu kerana air bersih masih boleh diperolehi walaupun hanya pada waktu tertentu sahaja.
Namun, masalah tersebut dilihat semakin teruk apabila tiada langsung bekalan air diperolehi sejak hampir seminggu lalu.
"Perkara ini sudah berlarutan hampir seminggu dan ia seperti tiada jalan penyelesaian.
"Lebih menimbulkan kemarahan saya apabila menerima bil surcaj walaupun tiada penggunaan air dibuat.
"Saya harap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin kerana ia melibatkan lebih 5,000 unit kediaman di sini," katanya yang menyewa di UUC sejak setahun lalu.
Seorang lagi penghuni, Saridah Sabtu, 38 tahun, berkata ketiadaan air menyukarkan dirinya dan keluarga kerana terpaksa beli berkotak-kotak air mineral untuk kegunaan harian.
"Adakalanya saya dan suami mengambil air daripada luar kerana air mineral sahaja pasti tidak mencukupi.
"Ini baru saya sahaja. Bayangkan kalau penghuni lain yang mungkin sedang sarat mengandung atau warga emas.
"Situasi ini pasti menyusahkan semua penghuni," kata kakitangan kerajaan yang memiliki tiga anak berusia antara dua dan lapan tahun itu.
Sementara itu, Astro AWANI difahamkan Kementerian Kerja Raya (KKR) Sabah yang bertanggungjawab ke atas masalah air sedang meneliti jalan penyelesaian terbaik untuk menangani isu yang dibangkitkan penduduk UUC.
Satu mesyuarat tergempar diadakan Setiausaha Tetap KKR Sabah Datuk Mohd Jasmin Juplin bersama pegawai kanannya dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) semalam bagi membincangkan isu berkaitan.
Ia bertujuan mencari langkah-langkah penyelesaian jangka pendek untuk memberi respons kepada masalah yang menjadi tular di media sosial sejak Selasa.