Penduduk tetap bantah jualan arak bebas cukai di Pulau Pangkor

Abd Razak Mohd Ali
Januari 2, 2020 13:58 MYT
Penduduk Pulau Pangkor terus menyatakan bantahan terhadap penjualan minuman keras bebas cukai di pulau itu. -Gambar fail
Penduduk Pulau Pangkor terus menyatakan bantahan terhadap penjualan minuman keras bebas cukai ekoran pewartaan pulau itu sebagai pulau bebas cukai mulai 1 Januari 2020.
Walaupun setakat ini masih belum ada peniaga yang berbuat demikian, namun mereka berharap ia tidak akan berlaku.
Ia ekoran jawapan lisan di Dewan Negara yang diberikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa minuman keras dan rokok akan dijual sebagai barangan bebas cukai yang sebelum ini dikecualikan.
Wakil penduduk, Roslan Ahmad, 55, berkata majoriti penduduk tidak bersetuju dengan langkah itu kerana ia banyak memberi kesan buruk, khususnya kepada golongan muda.
Menurutnya, sejak September lalu, mereka telah mengadakan beberapa perhimpunan aman bagi membantah cadangan berkenaan.
"Kita sudah mengutip tandatangan penduduk kampung dan beberapa pelancong yang tidak mahu minuman keras disenaraikan sebagai barangan bebas cukai,” katanya.
Roslan berkata satu memorandum akan dihantar kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk memaklumkan perkara itu.
Pengusaha resort, Asmadi Teh berkata penjualan minuman keras dan rokok tanpa cukai itu akan memberi kesan tidak baik kepada penduduk tempatan, khususnya golongan muda.
“Kita sepatutnya kekal dengan perancangan sebelum ini menjadikan Pulau Pangkor sebagai tempat percutian keluarga dan barangan yang dijual sesuai untuk seisi keluarga,” ujarnya.
Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perak berkata Menteri Besar mesti berpegang kepada kenyataan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini bahawa minuman keras tidak tersenarai sebagai barangan bebas cukai.
Menurutnya, walaupun tanpa minuman keras dalam senarai barangan bebas cukai, ia akan tetap melonjakkan sektor pelancongan di pulau itu.
Bagaimanapun, katanya, kesan itu mungkin akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk berkembang selain sokongan pihak swasta untuk menjayakan pulau bebas cukai.
Dalam pada itu, Asmadi berkata walaupun pewartaan bermula 1 Januari 2020, tetapi setakat ini harga barangan masih sama seperti harga lama.
#Ahmad Faizal Azumu #Lim Guan Eng #lokasi percutian keluarga #penjualan minuman keras #pulau bebas cukai #Pulau Pangkor #rokok tanpa cukai #Roslan Ahmad
;