Penduduk terus guna jambatan runtuh, terhakis akibat banjir

Nur Fazlizai Ali
Disember 16, 2023 09:50 MYT
Penduduk masih terus menggunakan jambatan berkenaan walaupun membahayakan keselamatan mereka. - Astro AWANI
DUNGUN: Jambatan yang menghubungkan penduduk Kampung Durian Mentangau ke bandar Dungun dan Paka ditutup kepada semua kenderaan susulan berlaku runtuhan baharu pada struktur jambatan berkenaan.
Ia berikutan hujan lebat berterusan sejak Ahad lalu mengakibatkan hakisan yang serius.
Bagaimanapun, penduduk masih terus menggunakan jambatan berkenaan walaupun membahayakan keselamatan mereka.
Menurut seorang penduduk, Nahis Mustafa, jarak laluan alternatif ke Dungun melebihi 40 kilometer manakala laluan sedia ada hanya kira kira 15 kilometer.
"Kami kesal kerana ini bukan perkara baharu, bukan sebulan dua, sudah berlaku setahun lebih, dari tahun lepas lagi.
"Sebelum berlakunya banjir besar, jambatan ini sudah runtuh. Penduduk Kampung Durian Mentangau yang ingin ke Paka terpaksa kena pusing ikut jalan jauh," katanya.
Sementara itu, Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Hanafiah Mat ketika dihubungi berkata, pembinaan jambatan sementara terpaksa dihentikan berikutan hujan lebat berterusan.
Menurut Hanafiah, struktur tanah di jambatan terbabit terdedah kepada hakisan dan tidak sesuai untuk sebarang aktiviti pembinaan.
Justeru, orang ramai diminta mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa demi keselamatan mereka serta mengelak sebarang kejadian buruk berlaku.
#monsun timur laut #jambatan runtuh #hakisan tanah #banjir
;