Penduduk terkejut air banjir bertukar seperti darah

Bernama
Disember 4, 2024 14:00 MYT
Banjir merah di Tumpat kerana pewarna dari kilang sos cili. - Foto tangkap layar video ihsan pembaca
TUMPAT: Seorang penduduk Kampung Telaga Bata di sini terkejut apabila banjir di kediamannya berwarna merah seperti 'darah', Ahad lepas.

Ringkasan AI
  • Banjir berwarna merah: Penduduk Kampung Telaga Bata terkejut apabila banjir di kawasan mereka bertukar warna merah seperti darah.
  • Punca banjir merah: Pewarna sos cili dari kilang berhampiran yang tidak beroperasi dipercayai bocor dan menyebabkan air banjir bertukar warna.
  • Keadaan banjir semasa: Banjir di kebanyakan laluan utama di Tumpat telah surut, namun beberapa kawasan kampung masih bertakung air.

Mohd Azam Jusoh, 35, berkata perkara itu dimaklumkan isterinya yang mendapati air di sekeliling rumah yang sebelum ini jernih tiba-tiba bertukar warna tersebut.
"Kejadian itu berlaku pada kira-kira 12 tengah hari ketika saya berada di luar kawasan dan isteri saya menelefon memaklumkan air di sekitar rumah telah bertukar warna merah.
"Saya agak terkejut dengan perkara itu lalu meminta isteri mengambil video untuk dihantar kepada saya berhubung kejadian berkenaan," katanya kepada Bernama hari ini.
Azam berkata melihat kepada video itu dia berasa hairan kerana kawasan rumahnya tidak pernah dilanda banjir 'merah'.
"Setelah disiasat, rupanya ada kilang pewarna sos cili yang sudah lama tidak beroperasi...pewarna sos cili itu berkemungkinan bocor lalu menyebabkan air banjir di kawasan sekeliling rumah bertukar menjadi merah," katanya sambil menambah kilang itu hanya berjarak 300 meter dari rumahnya.
Azam berkata pewarna sos cili itu hanya bergenang dalam air di kawasan rumahnya sekitar 15 minit sebelum beransur hilang.
Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa kawasan di Tumpat mendapati banjir telah surut di kebanyakan laluan utama namun beberapa kawasan kampung, air masih bertakung.
Cuaca di Kelantan ketika ini mendung dan gerimis.
-- BERNAMA
#air banjir bertukar merah #Tumpat #seperti darah #kilang sos cili
;