Penduduk Taman Seri Kemuning Indah resah insiden tanah runtuh

Sinar Harian
Januari 30, 2023 08:30 MYT
Taman permainan kanak-kanak yang turut terjejas akibat masalah tersebut. -Foto Sinar Harian
TEMERLOH: Penduduk Taman Seri Kemuning Indah khususnya di Lorong 5 di sini semakin resah berikutan tanah runtuh yang berlaku sejak beberapa bulan lalu.
Situasi itu semakin membimbangkan penduduk kerana ia berhampiran rumah mereka selain faktor hujan sejak kebelakangan ini.
Seorang pekerja swasta, Roslan Sentul, 55, memberitahu, hakisan tanah itu mula berlaku sejak Jun tahun lalu dan semakin ketara pada Oktober lalu.
"Penduduk di sini memang risau dan berharap masalah ini segera diatasi sebelum berlaku kejadian tak diingini berlaku.
"Kami bimbang keselamatan terutamanya anak-anak kecil selain risiko terhadap rumah penduduk," tambah Roslan mula tinggal di taman itu sejak 2004.
Ujar Roslan lagi, dia terpaksa menukar lokasi majlis perkahwinan anak perempuannya ke lokasi lain kerana situasi tersebut.
Bagi pesara, Zainal Abidin Ahmad, 68, pula memberitahu, terdapat 15 buah rumah di lorong tersebut dan mengakui mereka setiap hari dilanda keresahan kerana masalah tersebut.
"Bukan waktu cuaca hujan saja, masa cuaca baik pun berlaku hakisan tanah, paling terbaru beberapa hari lalu.
"Malah taman permainan kanak-kanak pun terjejas akibat masalah ini," tambah Zainal.
Buat masa ini, tali penghadang plastik telah dipasang sebagai tanda amaran selain pemantauan pihak berkuasa.
Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Asri Mubin, 56, memberitahu, masalah tersebut telah mendapat perhatian pihak berwajib.
Jelas Asri, beliau difahamkan peruntukan sudah diperolehi dan hanya menunggu masa untuk dijalankan.
"Kita berharap masalah ini dapat diatasi segera sekali gus mengakhiri kebimbangan penduduk selama ini," tambah beliau. -Sinar Harian
#Taman Seri Kemuning Indah #Roslan Sentul #tanah runtuh di Temerloh #hakisan tanah
;