Penduduk Taman Mekar Sari bantah cadangan bina asrama pekerja asing berhampiran perumahan
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 29, 2022 18:29 MYT
Mei 29, 2022 18:29 MYT
KEPALA BATAS: Penduduk 11 taman perumahan sekitar Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang membantah cadangan pembinaan Asrama Pekerja Berpusat (CLQ) berhampiran Taman Mekar Sari yang dikhuatiri menimbulkan pelbagai masalah sosial pada masa akan datang.
Penduduk terbabit mendakwa mereka boleh menerima cadangan pembinaan Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi kerana ia untuk pembangunan namun, sama sekali membantah cadangan pembinaan asrama pekerja di situ.
Wakil Gabungan Komuniti Bandar Putra Bertam, Mohd Fahmi Rejab berkata, ketika ini di Bandar Bertam Putra sahaja mempunyai 3,800 unit rumah manakala Mekar Sari hampir 4,000 unit rumah.
Jika pembinaan asrama pekerja menjadi kenyataan, penduduk bimbang kebanjiran pekerja terutama warga asing yang didakwa anggaran seramai 18,000 orang akan menimbulkan pelbagai impak sosial terutama dari segi keselamatan dan kesihatan .
"Bukan tiada yang bagus daripada mereka ini. Pekerja asing dia orang bagus, kerja kuat tetapi dari segi masalah sosial yang akan timbul selepas ini, kita tidak tahu apa boleh berlaku.
"Setahu saya indeks jenayah di kawasan ini tidak begitu tinggi dan bila perkara ni berlaku (pembinaan asrama) akan menyebabkan indeks (jenayah) akan naik. Bila indeks naik ia akan melibatkan berbagai-bagai masalah lagi.
"Impaknya bukan dalam masa esok, lusa, tahun depan, dua tahun depan, dia punya impak akan jadi 10 tahun atau 15 tahun akan datang," katanya ketika ditemui di lokasi bantahan di sini hari ini.
Penduduk yang bimbang masalah lain akan timbul termasuk dari segi kesesakan trafik dan pencemaran sampah mencadangkan agar asrama pekerja setinggi 10 tingkat itu dibina di kawasan lain.
Mohd Fahmi memberitahu, pihaknya berharap pemaju dan Majlis Bandaraya Seberang Prai (MBSP) mengkaji semula lokasi cadangan pembinaan asrama pekerja tersebut demi keselesaan penduduk.
Susulan itu, surat bantahan juga sudah dihantar ke pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang serta agensi berkaitan berhubung bantahan tersebut.
Terdahulu Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata pihaknya mengambil maklum mengenai bantahan penduduk mengenai cadangan pembinaan asrama pekerja di kawasan tersebut.
Ujarnya, kebenaran merancang belum dikeluarkan untuk pembinaan asrama pekerja tersebut sebaliknya, kebenaran hanya dikeluarkan untuk pembinaan Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi.
#asrama pekerja
#penduduk bantah
#bertam
#Kepala Batas
#warga asing
#CLQ
#pekerja asing
#pulau pinang