Penduduk Taman Mawar akui ada hidu bau seperti diesel, gas
Bernama
Jun 21, 2019 20:15 MYT
Jun 21, 2019 20:15 MYT
Sebilangan penduduk di Taman Mawar, Pasir Gudang di sini mengakui ada terhidu bau seperti diesel dan gas yang kuat, semalam, namun tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah berlakunya insiden beberapa murid dari dua buah sekolah berdekatan muntah dan sesak nafas, dipercayai akibat pencemaran udara.
Seorang pemilik bengkel kenderaan, Wee Chin Long, 54, berkata dia terhidu bau itu ketika berada di dalam bengkelnya.
"Bengkel saya hanya berjarak kira-kira 200 meter dari dua buah sekolah yang terjejas dan baunya memang seperti diesel dan gas," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 2, Marzuki Masjidi, 17, pula berkata dia terhidu bau tersebut sewaktu berada di padang sekolah.
"Semalam ada bau tetapi tidak fikir apa-apa sebab ini memang kebiasaan bagi kami di Pasir Gudang, hidu macam-macam bau sejak dahulu," katanya.
Sementara itu, S. Nagenrao, 36, berkata beliau memang ada menghidu bau pelik semalam namun tidak menghiraukannya disebabkan sudah terbiasa menghidu pelbagai bau aneh yang dilepaskan dari kilang berdekatan.
"Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana kawasan perumahan saya (Taman Mawar) ini berdekatan dengan kilang kimia dan kilang itu pula selalu melepaskan bau yang kurang menyenangkan," katanya.
Dalam kejadian petang semalam, 13 murid berusia antara tujuh dan 12 tahun serta dua kakitangan dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan setelah mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas akibat terdedah kepada udara yang disyaki tercemar.
Kejadian berlaku ketika murid-murid dari dua sekolah berkenaan sedang mengikuti sesi pembelajaran sebelah petang dan menghadiri rumah terbuka Aidilfitri yang dianjurkan sekolah mereka.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon dalam satu kenyataan pagi tadi berkata pihak sekolah turut mendakwa ada mengesan bau seperti Liquefied Petroleum Gas (LPG) sejak tiga hari lepas dan kemudian memaklumkannya kepada pihak Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).
-- BERNAMA
#Bau
#diesel
#gas
#LPG
#muntah
#Pasir Gudang
#pelajar
#pencemaran
#rumah terbuka Aidilfitri
#sekolah
#sesak nafas
#Taman Mawar
#Tan Chen Choon