Penduduk Taman Harmoni derita lebih sedekad akibat banjir

Sinar Harian
September 21, 2021 08:45 MYT
Keadaan air yang melimpah memasuki rumah penduduk Taman Harmoni ketika hujan lebat pada Sabtu lalu. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Derita penduduk di Taman Harmoni, Seri Kembangan di sini dengan masalah banjir yang berlarutan lebih 10 tahun bakal diatasi wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, agensi PBT terbabit ialah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Menurutnya, masalah banjir berlaku kerana taman perumahan berkenaan di kelilingi bukit dan tanah tinggi sekali gus ia menjadi kawasan takungan air apabila hujan lebat melanda.
"Kawasan ini memang di kelilingi bukit dan kawasan tanah yang tinggi, apabila hujan air akan mengalir ke bawah hingga menyebabkan kawasan tersebut menjadi seperti takungan air.
"Ini adalah punca yang menyebabkan banjir berlaku dan kita memerlukan satu cara penyelesaian agak panjang dengan kerjasama MPSJ dan MPKJ," katanya kepada Sinar Harian.
ADUN Seri Kembangan itu ditemui selepas mengadakan lawatan bersama Penolong Pengarah Kanan MPKj, Abdul Halim Samah di Taman Harmoni 5, Seri Kembangan di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Ean Yong berkata, kemudahan infastruktur yang sudah melangkaui tempoh 20 tahun di situ juga tidak cukup untuk menampung kapasiti air dan perubahan cuaca yang berlaku.
"Jadi kami akan mengadakan mesyuarat secara bersama dengan kedua-dua PBT terbabit malah masalah ini sudah lama jadi kita perlu cari jalan penyelesaiannya walaupun tempoh diperlukan agak panjang," katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#banjir #Taman Harmoni #tanah tinggi #hujan lebat
;