Penduduk Taman Haji Hadi bimbang runtuhan tebing Sungai Kelantan

Bernama
Januari 29, 2024 13:30 MYT
Penduduk mendakwa sudah melaporkan kejadian itu kepada pelbagai pihak termasuk wakil rakyat dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), namun belum ada sebarang tindakan. - Gambar/ Sinar Harian
KOTA BHARU: Lima keluarga yang menetap di Taman Haji Hadi dekat Kampung Pendek, di sini, hidup dalam kebimbangan selepas berlaku kejadian runtuhan tebing di Sungai Kelantan dipercayai jaraknya beberapa meter sahaja dari penempatan mereka.
Wakil penduduk, Wan Mazlan Wan Mustapha yang sudah menetap di kawasan terbabit sejak 2008 berkata kejadian itu boleh mengancam nyawa sekiranya berlaku sekali lagi kerana kedudukan tebing yang curam itu begitu hampir dengan kediamannya iaitu kira-kira lima meter.
"Kami (penduduk) berasa bimbang terutamanya ketika hujan lebat kerana merasakan struktur tanah itu tidak kuat dan boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja.
"Lebih merisaukan kami sekiranya berlaku runtuhan tebing ketika kami sedang tidur, sudah pasti nyawa kami terancam kerana kemungkinan rumah kami juga akan terjerumus ke dalam sungai akibat hakisan tebing," katanya ketika ditemui pemberita, di sini semalam.
Beliau berkata wakil penduduk sudah bertindak melaporkan kejadian itu kepada pelbagai pihak termasuk wakil rakyat dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), namun belum ada sebarang tindakan yang dilakukan.
Mohd Nawi Yaacob pula berkata kejadian tebing runtuh di situ sebenarnya sudah lama berlaku, malah sudah terdapat beberapa rekahan di kawasan longkang dan bahagian bilik beberapa rumah penduduk akibat mendapan tanah.
"Saya hanya bertawakal kepada Allah kerana aduan sudah dibuat tetapi tiada apa-apa tindakan dilakukan. Saya tidak mahu bila terjadi sesuatu yang tidak diingini, barulah ada pihak yang mahu ambil tindakan," katanya.
Hamiza Yaakub berkata beberapa batang pokok kelapa di bahagian belakang rumahnya sudah tumbang ke bawah tebing dan kini pagar rumah turut berdepan risiko yang sama.
"Saya amat berharap ada pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah ini sebelum kejadian buruk menimpa kami," katanya.
Sementara itu, usaha wakil media menghubungi pihak JPS bagi mendapatkan maklum balas berkenaan kejadian tebing runtuh itu tidak berjaya kerana semua panggilan termasuk melalui aplikasi WhatsApp tidak dijawab.
-- BERNAMA
#Sungai Kelantan #tebing runtuh #Taman Haji Hadi #keselamatan penduduk
;