Penduduk tak tahan hadap debu pasir di Cherating
Bernama
Januari 3, 2023 17:00 MYT
Januari 3, 2023 17:00 MYT
KUANTAN: Sebahagian penduduk Kampung Bukit Palas di Cherating di sini, mendakwa kehidupan mereka terganggu selepas kewujudan pusat pengumpulan pasir di situ yang didakwa bagi kegunaan sebuah projek pembangunan berhampiran.
Suri rumah Zaleha Abd Ghani, 52, berkata aktivi pengumpulan pasir yang kurang 30 meter dari rumahnya bermula sekitar November lepas dan sejak itu beliau terpaksa menutup pintu dan tingkap sepanjang masa bagi mengelakkan debu.
Selain itu, beliau yang sudah 14 tahun menetap di situ dan berjiran dengan empat rumah anak-anaknya juga mendakwa kesihatan ahli keluarganya juga tidak seperti sebelumnya, apabila lebih kerap mengalami batuk sejak kebelakangan ini.
"Sepatutnya pengusaha pasir perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk mengelakkan debu seperti membina penghadang, tapi yang dipasang ialah jaring... sudah tentu debu pasir masih boleh berterbangan bila ditiup angin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zaleha ditemui selepas menghadiri perjumpaan penduduk bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah Andansura Rabu di kampung itu, yang turut disertai seorang pengusaha pasir dan balak di kawasan tersebut.
Masalah sama diutarakan Rokiah Yusuf, 64, yang mendakwa selepas pusat pengumpulan pasir berhampiran rumahnya beroperasi sekitar Oktober lepas, beliau tidak lagi boleh mengambil angin di hadapan rumah yang dihuninya sejak 50 tahun lalu.
Beliau juga meluahkan kebimbangan dengan keadaan kesihatan ahli keluarganya, memandangkan dirinya dan cucu ada yang menghidap penyakit lelah.
"Kami diberitahu projek ini mungkin mengambil masa dua tahun. Jika baru beberapa bulan sudah begini keadaannya, bimbang macam mana keadaannya (sehingga projek selesai).
"Harap pihak berkaitan ambil tindakan segera. Kami suka pembangunan kerana ia untuk anak cucu kami juga, tetapi jangan sampai mengganggu kehidupan kami yang sudah lama menetap di sini," katanya.
Seorang lagi penduduk Zahari Noor Embung, 54, berkata walaupun pihak berkenaan ada mencuci jalan, namun ia hanya penyelesaian sementara selain tompokan pasir yang 'tumpah' dari lori semasa proses pengangkutan juga berisiko membahayakan penduduk yang menunggang motosikal akibat jalan licin.
Selain masalah pasir, Zahari yang 15 tahun menetap di situ mendakwa mereka juga perlu berhati-hati dengan lori balak, memandangkan terdapat pusat pengumpulan balak di situ, melibatkan aktiviti pembalakan beberapa kilometer dari kampung tersebut.
Projek balak itu bagaimanapun difahamkan selesai dalam tempoh enam bulan akan datang, jika cuaca mengizinkan.
"Kami bimbang jika keadaan jalan utama ke kampung ini rosak kerana menampung lori muatan berat membawa pasir dan balak dengan terlalu kerap, selain menyukarkan kami kerana besar lori sahaja sudah memenuhi jalan," katanya.
Sementara itu, Andansura berkata beliau akan bertemu pihak lain yang terlibat untuk mencari penyelesaian 'menang-menang' selepas pengusaha pasir dan balak yang hadir hari ini, berjanji untuk mengambil tindakan mengurangkan masalah itu.
Antaranya ialah dengan memasang dan meninggikan penghadang bagi mengurangkan masalah debu, selain menggunakan penutup sewajarnya untuk mengelakkan pasir daripada 'tumpah' ke jalan raya bagi keselesaan kira-kira 300 keluarga di kampung itu.
"Mereka juga bersetuju untuk tidak memulakan operasi lori pada waktu tertentu pada hari persekolahan termasuk sebelum 8 pagi bagi memastikan keselamatan penduduk dan remaja yang menunggang motosikal untuk ke sekolah," katanya.
-- BERNAMA