Penduduk Skim Penempatan Telipok diarah pindah susulan tanah runtuh, hujan
Eleanor Michelle Patrick
April 10, 2022 11:36 MYT
April 10, 2022 11:36 MYT
KOTA KINABALU: Akibat kejadian tanah runtuh dan hujan berterusan, penduduk di lima rumah Skim Penempatan Telipok telah diarahkan untuk berpindah.
Kesemua mangsa diminta mengosongkan rumah mereka susulan masih berlaku pergerakan tanah serta keadaan cuaca yang masih hujan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.59 pagi ini.
Susulan itu, sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, kami dapati berlaku kejadian tanah runtuh akibat hujan berterusan dan melibatkan kerosakan pada lima rumah.
“Pasukan bomba kemudiannya menasihati pemilik rumah untuk mengosongkan kawasan berkenaan dan berpindah ke tempat selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terjejas dan operasi ditamatkan pada jam 7.16 pagi.