Penduduk sifatkan banjir Segamat dahsyat, terburuk dalam 17 tahun

Shuhada Abdul Kadir
Mac 2, 2023 12:10 MYT
Kali ini paras air hanya surut sedikit dan menyebabkan masih ramai terkandas ekoran laluan-laluan utama masih digenangi air. - Astro AWANI
SEGAMAT: Banjir besar yang berlaku di daerah Segamat sehingga memaksa lebih 7,000 penduduk di daerah itu terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), selain beberapa laluan utama terputus hubungan sejak semalam disifatkan sebagai yang paling buruk.
Bukan sahaja lebih 50 PPS terpaksa diaktifkan, malahan bandar Segamat bagaikan ‘pulau’ apabila masih digenangi air dan menyebabkan ribuan penduduk terputus hubungan.
Penduduk tempatan, Mohd Khairil Abdul Razak,40, berkata daerah berkenaan pernah dilanda banjir besar pada tahun 2006, 2011, 2013 dan 2017 lalu dan sepanjang tempoh itu, tahun 2006 merekodkan banjir terburuk apabila berlaku limpahan air yang luar biasa daripada Sungai Segamat.
Katanya, meskipun beberapa kali penduduk daerah itu berdepan situasi banjir, namun dia tidak menyangka detik hitam itu berulang kembali pada kali ini.
“Kali ini memang paling dasyat sekali sebab biasanya air tidak tinggi sehingga mencecah rel kereta api lama di Jalan Muar-Segamat ini, dan air pun memang cukup laju.
“Dalam dua tiga jam sahaja air dah naik tinggi sehingga bandar Segamat ini tenggelam dan ramai yang terkandas tidak dapat melepasi jambatan dan melalui bandar Segamat untuk balik rumah.
"Sepanjang saya membesar di Segamat, ini memang banjir paling buruk yang pernah saya lihat,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Bagi Chew ling ping, 55, yang sudah lebih 23 tahun menjalankan syarikat agensi pelancongan di bandar Segamat berkata, ini merupakan kali ketiga premis pejabatnya dimasuki air selepas kejadian sama pada tahun 2006 dan 2011 lalu.
Katanya berbanding sebelum ini, kebiasaanya mereka dapat menjangkakan bakal berlaku banjir besar dan sempat menyelamatkan barangan-barangan penting.
“Memang kali ini pelik sedikit kerana baru sahaja Ahad lepas saya dan anak melalui jambatan Segamat dan mendapati air di Sungai Segamat cetek sehingga menampakkan dasar sungai.
“Dua hari kemudian (Selasa) terus berlaku hujan lebat yang berterusan dan semalam air naik mendadak dan saya tidak sempat mengemas pejabat,”katanya.
Mengulas lanjut ujar anak jati Segamat itu, berbeza dengan bencana sebelum ini, paras air di Sungai Segamat akan surut dengan cepat dan sekaligus membolehkan laluan di bandar Segamat dapat dibuka seperti biasa.
Namun kali ini paras air hanya surut sedikit dan menyebabkan masih ramai terkandas ekoran laluan-laluan utama masih digenangi air.
Tinjaun Astro AWANI di Jalan Muar-Segamat berhampiran Jambatan Lama Segamat mendapati tiga jambatan utama ke bandar Segamat tidak boleh dilalui susulan paras air di kawasan berkenaan masih tinggi.
Orang ramai yang terkandas juga terpaksa menunggu trak bantuan pihak berkuasa untuk melepasi bandar Segamat.
Sehingga jam 8 pagi tadi, Segamat masih merekodkan jumlah mangsa terbanyak seramai 7,272 orang daripada 2,050 keluarga yang ditempatkan di 55 PPS,
Setiusaha Kerajaan Negeri Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, seramai 25,213 penduduk terjejas melibatkan 10 daerah.
Angka itu meningkat berbanding 24,230 penduduk pada pukul 5 pagi tadi yang ditempatkan di semua 187 PPS yang dibuka.
#banjir #Segamat #PPS #pulau
;