Penduduk setempat dilantik renjer kehormat kawal selia Gunung Tabai
Fadilah Sulaiman
Mac 26, 2021 20:05 MYT
Mac 26, 2021 20:05 MYT
KUCHING: Penduduk setempat akan dilantik sebagai renjer kehormat di Taman Negara Dered Krian, Gunung Tabai Bau dalam usaha mengawal selia kawasan larangan itu.
Timbalan Pengerusi Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh berkata, pihak SFC juga telah menaikkan papan tanda bagi memastikan penduduk kampung sedar tentang bahaya memasuki dan melombong di kawasan yang tidak selamat itu.
“Renjer belum ada tapi kami sudah meletakkan papan tanda di sana.
“Kami akan cari cara untuk melibatkan penduduk tempatan sebagai renjer kehormat untuk mengawasi kawasan tersebut,” katanya semasa ditemui pemberita di Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat Sarawak di Taman Tasik DBKU hari ini.
Tambah Len Talif, Taman Negara Dered Krian merupakan kawasan melombong batu kapur dan bukannya emas.
Selain itu, beliau menambah, pihaknya akan meningkatkan program pendidikan dalam memberi pemahaman kepada penduduk agar tidak melakukan aktiviti tersebut yang membahayakan nyawa.
“Jadi sekarang ini kami melakukan program pendidikan untuk memberitahu mereka bahawa tapak tersebut adalah berbahaya dan tidak mempunyai emas untuk dilombong," katanya.
Pada tahun 2003, kawasan Gunung Tabai telah diwartakan sebagai Taman Negara Dered Krian sekali gus menghentikan pengeluaran lesen melombong batu kapur di situ.
Cerita Sebalik Berita: Tragedi | Operasi bawa keluar mayat gunung Tabai