Penduduk sedia guni pasir halang banjir lumpur memasuki rumah

Bernama
Disember 4, 2016 09:40 MYT
Syed Salleh Syed Hussin,45, ditemani anaknya Syed Mohd Shaqil Haiqal,9, membina benteng pasir di hadapan pintu masuk rumah mereka, bagi menghalang air banjir memasuki dalam rumah sebagai persiapan menghadapi banjir di Kampung Balok, Kuantan. - Foto B
Hujan lebat yang melanda daerah Kuantan sejak kebelakangan ini cukup meresahkan penduduk di Kampung Selamat, Pelabuhan, terutama mereka yang tinggal berhampiran kawasan simpanan bauksit.
Setiap kali hujan, mereka terpaksa berjaga-jaga kemungkinan berlaku banjir yang membawa bersama keladak merah daripada mineral bauksit dari kawasan berhampiran yang memasuki rumah mereka.
Bagi pasangan suami isteri Tuan Raja Zalifah Tuan Nor, 41, dan Syed Salleh@Syed Salim Syed Hussin, 45, kedatangan musim tengkujuh kali ini memerlukan mereka lebih berwaspada, lebih-lebih lagi setelah rumah mereka dilanda banjir lumpur selepas hujan lebat pada 29 Okt lepas.
"Sebelum ini, rumah saya tidak pernah kena banjir teruk sehingga air memasuki rumah, tetapi pada 29 Okt lepas memang teruk apabila berlaku banjir lumpur ini... air naik sehingga paras lutut masuk ke dalam rumah saya.
"Saya lihat ada limpahan air bersama lumpur keluar begitu laju macam air jeram turun melalui celahan batu-batu tembok yang memisahkan rumah kami dan kawasan penyimpanan bauksit. Kami jadi sangat takut sehinggakan anak bongsu lelaki trauma setiap kali hujan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Tuan Raja Zalifah berkata tembok setinggi tiga meter berhampiran kawasan bauksit itu yang dibina begitu dekat dengan rumah mereka tidak mampu menghalang air lumpur daripada mengalir masuk ke dalam rumah.
Perit dengan pengalaman itu, mereka sekeluarga terpaksa menyediakan guni pasir untuk dijadikan benteng di luar pintu hadapan rumah bagi menyekat air banjir bersama lumpur bauksit daripada memasuki rumah.
Tuan Raja Zalifah berkata beliau dan suaminya turut memastikan longkang di kawasan sekitar rumahnya sentiasa berada dalam keadaan baik supaya tidak tersumbat dan air dapat mengalir dengan laju, sekali gus mengurangkan risiko banjir.
"Bagaimanapun kalau hujan lebat berterusan, saya bersama keluarga akan keluar dari rumah secepat mungkin dan pergi berlindung di rumah saudara-mara lain untuk menyelamatkan diri," katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata kawasan Bukit Goh di sini yang merupakan bekas perlombongan bauksit berisiko dilanda banjir lumpur sekiranya hujan lebat berterusan.
Ini bermakna kesemua kawasan yang terdapat bekas aktiviti perlombongan bauksit berkemungkinan berhadapan situasi sama sekiranya taburan hujan tinggi.
Namun, berlainan pula dengan penduduk di sekitar Felda Bukit Goh dan Felda Bukit Kuantan serta di Kampung Jeram berdekatan Taman Satelit yang kebanyakannya tidak membuat sebarang persediaan bagi menghadapi kemungkinan banjir itu.
Seorang penduduk di Felda Bukit Goh, Ismail Ahmad, 80, berkata tiada sebarang persediaan dilakukannya bersama keluarga kerana yakin kawasan rumahnya di felda berkenaan tidak akan terjejas oleh banjir.
"Sebab kawasan sini (Felda Bukit Goh) tidak pernah berlaku banjir teruk lagi. Kalau berlaku banjir di sini, maknanya tenggelamlah satu bandar Kuantan ini. Seingat saya, banjir teruk pernah berlaku sekali sahaja di sini iaitu sekitar tahun 1971, itu pun sebab tidak ada perparitan," katanya.
Saudah Yaakub, 63, pula berkata sekalipun hujan lebat berterusan dan berlaku banjir lumpur, ia tidak akan menjejaskan penduduk di felda itu kerana bekas perlombongan itu berada di dalam ladang sawit yang tidak ada rumah penduduk.
Sementara itu, seorang penduduk di Felda Bukit Kuantan, Piah Abdullah, 76, berkata pada masa ini dia tidak berasa bimbang akan berlakunya banjir itu kerana selama hampir 41 tahun tinggal di situ belum pernah ada pengalaman sedemikian.
"Tetapi bermain dengan hujan ini kita tidak tahu, kalaulah benar-benar berlaku banjir lumpur di kawasan rumah saya ini nanti, saya tidak tahu hendak buat macam mana, sebab tidak pernah merasai lagi banjir teruk," katanya.
Maryanis Marzuki, 31, yang tinggal di Kampung Jeram berdekatan Taman Satelit pula berkata biarpun terdapat bekas perlombongan bauksit berhampiran tempat tinggalnya itu namun tidak akan menjejaskan rumahnya.
Katanya sepanjang pengalaman 12 tahun menetap di situ, belum pernah berlaku banjir teruk mahupun banjir disebabkan bauksit kerana jikalau air naik sekalipun, ia akan surut semula dalam tempoh dua atau tiga jam kemudian.
-- BERNAMA
#banjir #bauksit #guni pasir #lumpur
;