Penduduk Sandakan sambut baik tubuh zon keselamatan khas

Shafizan Johari
Mac 10, 2013 22:55 MYT
Penduduk Sandakan menyambut baik penubuhan zon keselamatan khas bagi memperkasakan kawalan keselamatan di perairan pantai timur Sabah.
Tinjauan Astro Awani mendapati, rata-rata mereka berasa lebih selamat dengan kehadiran lebih ramai pasukan keselamatan bagi mengawasi keselamatan mereka.
Jelas penduduk yang ditemui, sejak sekian lama, mereka berasa tidak tenang.
Kemuncaknya adalah insiden pencerobohan dan keganasan di Lahad Datu, Kunak dan Semporna, Sabah.
Mereka juga masih menantikan butir perincian mengenai zon tersebut yang dijangka diumumkan oleh kerajaan tidak lama lagi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengumumkan pembentukan sebuah kawasan keselamatan khas yang meliputi wilayah pantai timur Sabah dari Kudat ke Tawau.
Kawasan itu merangkumi daerah Sandakan, Semporna dan Lahad Datu.
Kata Perdana Menteri, keputusan berkenaan turut dipersetujui oleh kabinet.
Kabinet juga bersetuju untuk menambah kekuatan pasukan keselamatan sedia ada dengan mengerahkan lima batalion tentera dan polis ke zon khas itu.
Operasi kawalan keseluruhan zon berkenaan akan berpusat di Lahad Datu.
Pasukan keselamatan yang terlibat pula akan melapor langsung kepada Ketua Menteri Sabah.
#Filipina #Lahad Datu #Ops Daulat #Sabah #Sandakan #Semporna #Sulu