'Penduduk salah faham, van jenazah tidak dicuri'

Sinar Harian
Ogos 5, 2024 04:30 MYT
Video tular memaparkan penunggang motosikal mengejar sebuah van jenazah di Kajang. Gambar kecil: Naazron
KAJANG: Salah faham menjadi punca sekumpulan penunggang motosikal mengejar sebuah van jenazah yang didakwa dicuri serta terbabit kes pecah rumah di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan video tular di TikTok yang memaparkan insiden itu.
"Polis menerima laporan daripada pemandu van jenazah berusia 35 tahun berhubung kejadian berkenaan pada jam 3.58 petang Ahad," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Naazron berkata, lelaki yang memandu van jenazah ke satu kawasan perumahan di Kajang untuk dihantar kepada seorang mekanik telah tersalah alamat, menyebabkan dia terpaksa memandu perlahan.
"Tetapi ia menyebabkan salah faham sehingga dia ditahan sekumpulan lelaki yang menuduhnya memandu kenderaan curi dan terbabit kes pecah rumah di kawasan itu.
"Kumpulan lelaki terbabit dikatakan cuba menyerang dan mengejar pemandu itu dengan membawa senjata kayu serta besi, menyebabkan dia melarikan diri bersama van jenazah terbabit," katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati tiada sebarang laporan kes pecah rumah atau kecurian van jenazah dilaporkan, malah nazir sebuah masjid iaitu lelaki berusia 45 tahun mengesahkan menyerahkan van itu kepada pengadu untuk dibaiki.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998 bersabit dengan video tular yang mendatangkan kegusaran kepada orang lain.
Naazron berkata, pihak polis menasihati masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang tidak benar di media sosial terutama yang boleh mendatangkan kekeliruan atau mengganggu ketenteraman awam.
"Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu yang cuba menyebarkan maklumat dan berita tidak benar melalui peruntukan undang-undang yang ada di negara ini," katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/678611/berita/semasa/penduduk-salah-faham-van-jenazah-tidak-dicuri
#video tular #van jenazah #kes curi #salah faham