Penduduk RKT Kesedar Renok Baru ketakutan 'dikunjungi' gajah liar

Bernama
Januari 14, 2024 15:28 MYT
Perhilitan meminta penduduk yang terserempak dengan gajah supaya segera menjarakkan diri, bersembunyi serta mengelakkan daripada melakukan sebarang provokasi. - Gambar hiasan
GUA MUSANG: Penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru di sini, mendakwa tiga ekor gajah liar berkeliaran di penempatan itu sejak Rabu lepas (10 Jan) sekali gus menimbulkan ketakutan kepada mereka.
Penduduk Kartini Mohamed, 45, berkata beliau menyedari kehadiran mamalia terbabit selepas menghidu bau yang kuat seakan lumpur di luar kediamannya lewat petang hari kejadian.
"Saya kemudian menjenguk ke luar tingkap dan melihat terdapat sekawan gajah liar di tepi rumah.
"Saya segera memadamkan lampu dan hanya berdiam diri di dalam rumah kerana amat takut selepas melihat saiz gajah yang besar itu," katanya ketika ditemui pemberita di RKT Kesedar Renok Baru, di sini.
Menurut warga emas Halimah Ngoh, 67, gajah liar itu turut merosakkan kira-kira 15 pokok kelapa di tepi rumahnya.
"Pada waktu subuh saya bangun dan dapat melihat pasu jatuh dan ada kesan tapak kaki gajah tepi rumah," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan Mohamad Hafid Rohani meminta penduduk yang terserempak dengan gajah supaya segera menjarakkan diri, bersembunyi serta mengelakkan daripada melakukan sebarang provokasi terhadap mamalia itu.
Beliau turut menasihatkan peneroka untuk keluar bekerja secara berkumpulan.
-- BERNAMA
#gajah liar #ancaman gajah #penduduk takut #RKT Kesedar Renok Baru #Gua Musang
;