Penduduk risau wujud fenomena 'Bukit Malut 2' di Kuala Perlis

Bernama
September 3, 2020 05:26 MYT
Anggota polis menjalankan rondaan sekitar Kuala Perlis, 3 Sept, 2020. --fotoBERNAMA
Kedatangan pendatang asing dari Bukit Malut, Langkawi sebagai nelayan di perairan Kuala Perlis menimbulkan kerisauan penduduk setempat apabila ‘tetamu tidak diundang’ itu mula mendiami di kawasan itu sejak kebelakangan ini.
Rata-rata penduduk setempat meluahkan rasa bimbang terhadap keselamatan mereka dan jika perkara itu tidak dibendung dari awal akan mengubah perkampungan nelayan Kuala Perlis sebagai pusat transit pendatang asing seperti yang berlaku di Bukit Malut, Langkawi.
Seorang nelayan yang hanya ingin dikenali sebagai Ramli, 53, berkata beliau bimbang sekiranya perkara itu dibiarkan ia akan menimbulkan banyak isu kepada penduduk seperti masalah sosial dan penempatan haram seperti mana yang dialami oleh masyarakat di Bukit Malut.
“Saya tidak rela jika Kuala Perlis menjadi ‘Bukit Malut 2’ kerana menjadi tumpuan pendatang asing dan berharap pihak berkuasa segera mengambil tindakan tegas,” katanya kepada Bernama di sini, pada Khamis.
Bapa kepada empat orang anak itu mengucapkan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad turun padang meninjau keadaan itu dan mahu tindakan segera diambil.
Sementara itu, Surina berkata polis mula mengesan kehadiran pendatang asing di beberapa kawasan sekitar Kuala Perlis sejak tahun lepas dan akan mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan kewujudan ‘Bukit Malut 2’.
“Kita juga telah berjaya mengesan sebanyak 59 buah jeti haram sepanjang persisiran pantai Kuala Perlis yang menjadi laluan kemasukan pendatang asing dari Bukit Malut yang pada awalnya datang ke sini sebagai nelayan namun akhirnya mula menetap di sini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di persisiran pantai Kuala Perlis.
Surina berkata hasil temu bual bersama beberapa penduduk di Pulau Ketam pada Khamis mendapati bahawa mereka berasa tidak selesa dengan kehadiran pendatang asing itu.
“Kita harap masyarakat sedia memberi maklumat kepada pihak polis sebelum keadaan menjadi buruk, apabila jumlah mereka bertambah. Kita akan menghadapi kesukaran untuk mengawal mereka dan adalah lebih baik sekiranya perkara ini dibendung dari awal,” katanya.
Beliau berkata mereka (pendatang asing dari Bukit Malut) selesa tinggal di Kuala Perlis memandangkan lokasi, bentuk muka bumi dan persekitaran kedua-dua tempat tersebut hampir sama.
Menurut Surina, polis akan memperketatkan kawalan dengan rondaan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
“Selain melakukan rondaan anggota unit MPV dan URB juga akan melakukan ‘Stop and Talk’ bagi mendapatkan maklumat daripada orang ramai tentang lokasi pendatang asing dan bagaimana mereka keluar dan masuk ke sini sebelum tindakan diambil,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri Kedah menerima saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar penduduk yang tinggal di penempatan haram di Bukit Malut, Langkawi, dipindahkan ke kawasan lain bagi memulangkan semula tanah yang didiami kepada pemilik asal.
Bukit Malut sebelum ini menjadi tempat trasit pendatang asing yang membina penempatan haram tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa dan pemilik tanah.
-- BERNAMA
#Bukit Malut #Kedah #Kuala Perlis #Langkawi #pendatang asing #penempatan haram #polis #Pulau Ketam #pusat transit #rondaan #Surina Saad
;