Penduduk risau babi hutan ancam keselamatan

Aida Aziz
November 30, 2020 16:42 MYT
Rumah dan harta benda penduduk di Kampung Astaka dan Kampung Tok Paduka sudah banyak dirosakkan oleh sekumpulan babi hutan. - Gambar Astro AWANI
TAIPING: Kehadiran babi hutan di beberapa buah kampung sekitar Batu Kurau, di sini sejak beberapa bulan lalu bukan sahaja memusnahkan tanaman di situ tetapi juga mengancam keselamatan dan nyawa penduduk.
Rata-rata penduduk kampung yang ditemui memberitahu, mereka risau dengan masalah yang berlarutan itu memandangkan sudah banyak kemalangan yang berlaku membabitkan babi hutan dan penunggang motosikal.
Seorang pekerja swasta, Hasanuddin Hassan dari Kampung Astaka di sini berkata, sekumpulan babi hutan sering berkubang di hadapan rumahnya serta merosakkan harta benda penduduk.
"Boleh dikatakan setiap malam babi-babi ini datang, duduk (berkeliaran) depan rumah, keliling rumah... (babi-babi) ini mengganggu menyebabkan keadaan (penduduk) tidak selesa.
"Babi-babi ini menyusahkan orang yang nak balik dari kerja, dari masjid terpaksa halau babi sebelum sampai rumah. Jadi saya amat berharaplah pihak Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) ataupun pihak pihak yang berkenaan datang tengok sini ambil tindakan yang sewajarnya," katanya.
Bagi penduduk Kampung Tok Paduka, Kamariah Baharom pula, sudah pelbagai cara yang dilakukan oleh penduduk setempat untuk menghalau binatang itu, namun bilangannya tetap tidak berkurang.
Kata Kamariah, setiap malam kejiranan kampung itu akan berasa bimbang terutama keselamatan mereka yang mahu ke surau dan kanak-kanak memandangkan pernah ada kes penduduk yang dilanggar babi selain beberapa buah motosikal dan budak-budak dilanggar binatang itu.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Muafakat Komuniti Larut (Pakat Larut), Ahmad Hasbullah Alias menggesa pihak berwajib seperti Jabatan Perhilitan Negeri Perak untuk melihat sendiri masalah yang membelenggu penduduk di situ dan melaksanakan operasi secepat mungkin.
"Masalah babi hutan yang semakin hari semakin berleluasa masuk ke kampung-kampung, ke taman-taman (perumahan) mengancam keselamatan dan juga tanaman orang kampung yang habis dimusnahkan.
"Babi-babi datang bukannya seekor dua, berpuluh-puluh ekor datang masuk kampung... ancaman babi ini sudah berleluasa dan boleh membahayakan nyawa penduduk terutama kanak-kanak.
"Kerana itu saya mendesak pihak Perhilitan khususnya yang bertanggungjawab soal binatang ni supaya turun padang melaksanakan operasi membanteras babi ini dan jangan biarkan rakyat dalam ketakutan keresahan dan kecemasan," kata beliau.
#babi hutan #penduduk kampung #Batu Kurau #Kampung Astaka #Kampung Tok Paduka
;