Penduduk resah dibelenggu masalah banjir selama 10 tahun

Astro Awani
Mei 20, 2018 13:55 MYT
Sistem perparitan yang lama dilihat menjadi punca masalah limpahan air setiap kali musim hujan. - Astro AWANI
Sejak lebih 10 tahun, masalah banjir masih membelenggu penduduk di Taman Jati, Batu Berendam, Melaka dan dakwa mereka, ia berpunca daripada sistem perparitan yang tidak efisien.
Meskipun pelbagai aduan telah diajukan oleh kira-kira 100 penduduk kepada pelbagai pihak berwajib, namun keadaannya masih sama.
Seorang penduduk, Yong Pow Hong, 40, berkata, dia mula berpindah ke taman perumahan tersebut sejak 14 tahun lalu dan terpaksa berdepan situasi berkenaan lebih-lebih lagi setiap kali menjelang musim tengkujuh.
Katanya, adakalanya penduduk di taman berkenaan tidak mampu tidur lena pada sebelah malam setiap kali musim hujan ekoran bimbang dengan limpahan air dari longkang-longkang yang tidak diselenggara.
Jelasnya, air yang melimpah ke rumah penduduk mengakibatkan mereka terpaksa menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM5,000 setahun.
Pelbagai aduan telah dikemukakan dan mereka tidak sanggup lagi untuk berdepan situasi sama dan berharap barisan pimpinan baharu mampu menyelesaikan masalah tersebut.
“Kadang-kadang mereka (pihak berwajib) ada datang dan berjanji akan buat.
“Setiap kali air banjir masuk rumah, saya punya perabot semua rosak. Kerugiansaya boleh mencecah RM6,000. Tahun lepas, berlaku dua kali banjir yang teruk,” kata Pow Hong.
Pow Hong berkata demikian kepada media ketika kunjugan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee pada ahad yang turut disertai Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka, Zulkifly A. Ghani.
Sementara itu, Zulkifly berkata, berdasarkan siasatan awal sistem perparitan yang telah lama merupakan punca insiden banjir di negeri itu kerap berulang.
Katanya, untuk jangka masa pendek, kerja-kerja menyelenggara longkang di kawasan berkenaan akan dilakukan segera sementara pihaknya bakal mengadakan perbincangan dengan agensi terlibat seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan untuk mengkaji langkah selanjutnya serta menyediakan laporan lengkap.
“Sistem perparitan di sini agak lama. Ia (kawasan) perumahan yang lama. Jadi apa yang kita boleh lakukan dalam masa singkat ini adalah kita akan cuba untuk lihat balik sistem aliran di sini.
“Kalau ada yang tersumbat kita akan cuba bersihkan. Untuk jangka Panjang, kita perlu buat kajian selanjutnya,” kata Zulkifly.
Sementara itu, Chee Yee berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana ia melibatkan jumlah penduduk yang ramai.
Tegasnya, beliau memberi masa seminggu kepada agensi terlibat untuk menyediakan laporan lengkap sebelum dibentangkan di peringkat negeri bagi mendapatkan penyelesaian.
#aduan #banjir #hujan #masalah #Melaka #Penduduk #pihak berkuasa
;