Penduduk rayu pembinaan semula jambatan terbengkalai disegerakan

Ridzal Abdullah, Petrus Bernard
Jun 5, 2020 03:00 MYT
Perhimpunan aman diadakan dengan harapan keluhan mereka mendapat perhatian pihak bertanggungjawab. -Astro AWANI
Penduduk Kampung Ranggu menghadapi kesulitan apabila jambatan yang merupakan laluan utama ke kampung itu terbengkalai pembinaannya sejak 25 November tahun lalu.
Keadaan ini memberikan kesulitan kepada sekitar 5,000 penduduk berikutan tiada kerja-kerja pembinaan naik taraf jambatan kayu kepada jambatan konkrit dilakukan setelah enam bulan ia dibina semula.
Astro AWANI pada Sabtu lalu meninjau kesulitan yang dihadapi penduduk dan mendengar keluhan hati mereka.
Jambatan Ranggu merupakan penghubung utama kawasan kampung Ranggu ke bandar Tawau.
Penduduk berdepan kesukaran ke pusat bandar selain ke tempat kerja di mana mereka terpaksa mengharungi jalan alternatif yang jauh, sempit dan berbahaya.
Rata-rata penduduk terpaksa menyambung perjalanan dengan berjalan kaki menggunakan jambatan sementara untuk ke seberang.
Namun, jambatan sementara yang dibina penduduk kini didapati tidak lagi selamat, dan atas keperluan itu penduduk amat mengharapkan jambatan baharu dapat segera disiapkan.
Kecewa dengan keadaan ini, satu perhimpunan aman dihadiri kurang 10 wakil penduduk diadakan dengan harapan keluhan mereka mendapat perhatian pihak bertanggungjawab selain campur tangan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohamad Shafie Apdal.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Osman Jamal menjelaskan projek pembinaan jambatan tersebut tidak mengalami kegagalan.
Menurutnya, projek itu mematuhi prosedur termasuk uji kaji makmal pembinaan.
Malah penangguhan projek itu adalah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.
Tambahnya, pihaknya telah membawa perkara itu kepada pengetahuan Shafie dan kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM600,000 untuk pembinaan jalan sementara bersebelahan dengan projek Jambatan Ranggu yang dijangka boleh dilalui dalam tempoh sebulan akan datang.
Jelasnya, projek pembinaan Jambatan Ranggu juga akan dilaksanakan dengan segera dan dijangka siap dalam tempoh lapan bulan.
Selain untuk kegunaan penduduk Kampung Ranggu, jambatan itu juga menjadi kegunaan penghuni beberapa taman perumahan seperti Taman Perwira, Taman Ranggu Saujana, Taman Alamanda, Taman Desa Ranggu serta Kampung Andrasi.
#Jambatan Ranggu #jambatan terbengkalai #Kampung Andrasi #Kampung Ranggu #perintah kawalan pergerakan #PKP #Taman Alamanda #Taman Desa Ranggu #Taman Perwira #Taman Ranggu Saujana #Tawau