Penduduk Rantau Panjang resah banjir lambat surut
Bernama
Disember 22, 2021 18:19 MYT
Disember 22, 2021 18:19 MYT
PASIR MAS: Penduduk beberapa kampung di sekitar Rantau Panjang di sini, resah apabila keadaan banjir yang tidak pernah berlaku di kawasan berkenaan sebelum ini, paras airnya masih tidak surut sejak Jumaat lepas.
Penduduk mendakwa banjir yang berlaku kebiasaannya hanya memakan masa tiga hari untuk surut dengan paras air tidak terlalu dalam tetapi banjir kali ini airnya masih pada paras pinggang walaupun telah memasuki hari keenam bencana itu berlaku.
Suri rumah, Marlina Mohamad, 38, dari Kampung Tasek Bakong berkata ini merupakan kali pertama beliau berdepan situasi banjir itu sejak mula tinggal di kampung tersebut kira-kira 12 tahun lepas.
"Selalunya air banjir akan surut dalam tempoh tiga hari tapi kali ini, air masih bergenang di sekitar kampung," katanya ketika ditemui pemberita pada agihan bantuan banjir berupa bekalan makanan oleh badan bukan kerajaan (NGO) The Third Force di bawah seliaan Yayasan Raja Shamri (YRS) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Pengarah JBPM Kelantan Anwar Abu Bakar dan Penyelia The Third Force Pasir Mas Tuan Zaimah Raja Omar.
Seorang lagi penduduk, Muzipah Che Muda, 53, berkata setakat ini, paras air itu hanya surut sekitar kira-kira seinci sejak semalam walaupun cuaca di Rantau Panjang baik dan tidak hujan sejak tiga hari lepas.
Sementara itu, pada majlis berkenaan sebanyak 70 keluarga membabitkan 350 mangsa menerima bantuan makanan.
-- BERNAMA