Penduduk pesisir pantai Terengganu diminta siap sedia hadapi banjir gelombang ketiga

Bernama
Disember 20, 2023 10:15 MYT
kerajaan negeri juga telah bersedia sepenuhnya menghadapi kemungkinan banjir gelombang ketiga. - Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Penduduk di kawasan pesisir pantai di Terengganu diingatkan supaya berwaspada dengan kemungkinan banjir gelombang ketiga antara 22 hingga 26 Dis ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata amaran itu susulan fenomena ribut tropika Jelawat dari Filipina yang dijangka turut memberi kesan kepada negeri berkenaan.
"Berikutan daripada ribut tropika Jelawat dari Filipina...kalau kesannya agak serius, kita akan hadapi hujan yang agak berat.
"Kalau betul sebagaimana ramalan, kita bukan sahaja akan ada hujan, tetapi angin yang agak kuat. Jadi saya nasihatkan penduduk di kawasan pesisir pantai dari Besut ke Kemaman supaya bersedia," katanya ketika menghadiri majlis penyampaian pakej prihatin oleh PETRONAS kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurut Tengku Farok Hussin yang juga Pengerusi Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), kerajaan negeri juga telah bersedia sepenuhnya menghadapi kemungkinan banjir gelombang ketiga.
"Untuk Monsun Timur Laut (MTL) ini kita memang sentiasa siap sedia. Kalau ikut ramalan (ribut tropika Jelawat) bukan sahaja di Pantai Timur tapi seluruh Malaysia," katanya.
Terengganu dilanda banjir gelombang pertama pada 20 Nov hingga 1 Dis lepas disusuli dengan gelombang kedua pada 14 Dis sehingga semalam.
Dalam tempoh itu, hampir 8,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Hulu Terengganu, Kemaman, Dungun, Setiu dan Besut.
-- BERNAMA
#monsun timur laut #pesisir pantai #banjir gelombang ketiga #ribut tropika Jelawat
;