Penduduk Perlis diingatkan bersiap sedia, air pasang besar cecah 3.7 meter dijangka berlaku
Bernama
Oktober 9, 2024 22:46 MYT
Oktober 9, 2024 22:46 MYT
KANGAR: Penduduk di Perlis terutama bagi kawasan Kangar dan Arau diingatkan bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan banjir besar, apabila dijangkakan berlaku fenomena air pasang besar mencecah paras 3.7 meter pada 16 dan 17 Okt.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata penduduk perlu sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan tidak menunggu saat akhir untuk berpindah ke tempat lebih selamat atau pusat pemindahan sementara (PPS), jika keadaan semakin buruk.
"Paras air pasang ini dijangka mencecah 3.7 meter iaitu lebih tinggi berbanding paras 3.4 meter yang berlaku sebelum ini...(projek) lencongan banjir barat di Perlis banyak membantu mengurangkan impak banjir, namun masyarakat perlu lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Kita akan terus memantau keadaan cuaca dan paras air dari semasa ke semasa, serta mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk melindungi penduduk Perlis daripada kesan banjir ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Che Murad Sayang berkata pihak kerajaan negeri telah bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir lagi, sekiranya berlaku fenomena air pasang besar itu dan bantuan termasuk bekalan makanan bagi mangsa banjir juga telah disediakan.
"Lebih 7,000 anggota daripada pelbagai agensi akan digerakkan bagi bersiap sedia mengawal kawasan dan membantu mangsa terjejas. Antara agensi terlibat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya.
Sementara itu, Pengarah JKM Perlis Ku Chik Ku Mat Esa dalam satu kenyataan memaklumkan seramai 687 mangsa banjir daripada 215 keluarga di Perlis, ditempatkan di enam PPS setakat pukul 6 petang ini.
Untuk rekod, Perlis juga pernah dilanda banjir pada pertengahan bulan lepas apabila PPS mula dibuka untuk menempatkan mangsa banjir pada 17 Sept malam, sebelum ditutup sepenuhnya pada 21 Sept.
-- BERNAMA