Penduduk pedalaman ternanti-nanti agihan peruntukan RM5 bilion untuk Sabah
Bernama
November 3, 2018 16:46 MYT
November 3, 2018 16:46 MYT
Peruntukan lebih RM5 bilion kepada Sabah dalam Belanjawan 2019 sangat menarik bagi penduduk pedalaman negeri ini namun mereka juga masih ternanti-nanti bagaimana peruntukan itu diagihkan kelak.
Mereka masih tertanya-tanya sama ia akan memihak kepada kepentingan mereka terutama penyediaan infrastruktur asas yang amat mereka perlukan seperti bekalan air bersih, jaringan jalan raya,bekalan elektrik serta keperluan harian mereka.
"Tetapi Sabah perlu melihat perinciannya .. kita perlu tahu juga sama ada jumlah itu lebih memihak kepada rakyat khususnya untuk mengatasi masalah akses jalan raya, bekalan air bersih, pembangunan pertanian dan akses jalur lebar kepada penduduk luar bandar.
"Sebagai contoh, peruntukan RM50 juta untuk mengurangkan beban pekebun kecil getah kesan kejatuhan harga getah sangat kecil," kata Penasihat Pertanian Negara Prof (Adjung) Datuk Yap Yun Fook.
Yap berkata, peruntukan untuk tujuan itu (kesan kejatuhan harga getah) tidak memadai untuk mengatasi rungutan rakyat mengenai masalah harga getah yang sedang merudum setiap hari.
Setiausaha Agung Persatuan Dusun Peribumi Sabah (Peribumi), Rosanna Edeza pula berkata peruntukan sebanyak RM30 juta bagi membantu pekebun kecil memperoleh persijilan minyak sawit mampan Malaysia (MSPO) sangat tidak mencukupi pada ketika masih ramai pekebun yang berminat untuk melibatkan diri dalam sektor perladangan sawit.
Anggota Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Pekebun-Pekebun Kecil Pedalaman Sabah Ekok Amin pula berpandangan peruntukan lebih besar sepatutnya diberikan kepada usaha menangani kesan kejatuhan harga getah dan sawit kepada rakyat.
Justeru kata Ekok peruntukan RM5 bilion untuk Sabah itu sepatutnya sebahagiannya diagihkan untuk mencari kaedah lebih berkesan menangani kejatuhan harga komoditi getah dan sawit.
Seorang lagi anggota jawatankuasa persatuan berkenaan, Aneh Dalusim berkata kawasan pedalaman Keningau didominasi oleh pekebun getah dan sawit dan mereka amat bergantung kepada komoditi itu untuk keterusan hidup.
Namun katanya melihat kepada harga getah dan sawit hari ini, ia memberi gambaran bahawa masa depan pekebun kecil komoditi itu tidak menjamin masa depan mereka.
Aneh berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipimpin Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar menilai semula pengagihan peruntukan itu dengan mengambil kira nasib pekebun kecil khususnya di kawasan pedalaman Keningau.
--BERNAMA.
#Bajet 2019
#Belanjawan 2019
#kerajaan
#merancak ekonomi
#Pakatan Harapan
#pedalaman
#peruntukan
#rakyat
#RM5 bilion
#Sabah