Penduduk Papar digesa tidak lakukan pembakaran terbuka
Bernama
Mac 14, 2024 22:40 MYT
Mac 14, 2024 22:40 MYT
PAPAR: Penduduk di sekitar Papar digesa tidak melakukan pembakaran terbuka khususnya membakar hutan dan sampah untuk mengelak situasi kemarau bertambah teruk serta mendatangkan kesan berbahaya seperti kualiti udara tidak sihat dan jerebu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar Roslan Osman berkata pembakaran terbuka sama ada di kawasan rumah atau kebun pada masa ini sangat berbahaya ekoran keadaan kering dan berangin yang boleh menyebabkan api merebak dengan cepat ke tempat lain.
"Kita tahu antara punca kebakaran yang berlaku di daerah ini adalah disebabkan pembakaran terbuka yang disengajakan, namun belum ada individu yang didapati bersalah.
"Oleh itu, kita kena elakkan pembakaran terbuka bagi memastikan bencana di daerah ini semakin teruk, selain masalah air yang dihadapi kini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Papar dalam satu kenyataan mengisytiharkan Papar, terletak kira-kira 38 kilometer dari Kota Kinabalu, sebagai kawasan bencana kemarau berikutan krisis bekalan air berada pada tahap kritikal akibat cuaca panas melanda daerah berkenaan.
Setakat 4 petang tadi Kimanis, sebuah kawasan dalam daerah Papar, menjadi satu-satunya kawasan yang mempunyai kualiti udara tidak sihat iaitu bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap 155.
Roslan berkata sebanyak 50 kebakaran belukar, kebun, hutan dan tanah gambut direkodkan di Papar sejak Januari lepas hingga semalam.
Justeru, beliau meminta masyarakat di daerah itu membersihkan kawasan belukar di kawasan rumah masing-masing kerana kawasan berkenaan mudah terbakar ketika musim kering ekoran kemarau berpanjangan pada masa ini.
"Orang ramai khususnya pemandu kenderaan juga dinasihati tidak sewenang-wenangnya membuang puntung rokok bagi mengelak kebakaran," katanya.
-- BERNAMA