Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sepanjang tempoh MTL, negeri ini seperti kebiasaannya akan berhadapan dengan bencana banjir.
"Oleh itu, saya menasihatkan orang ramai khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya perlu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
"Insya-Allah, kerajaan negeri bersama-sama agensi keselamatan yang lain sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana ini," katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di Facebook rasminya.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata dalam tempoh MTL, lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku.
Beliau dipetik berkata semasa fasa awal MTL dari November hingga Disember 2024, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Sementara pada Januari hingga Februari 2025 pula, negeri yang lebih berpotensi untuk berlaku episod hujan lebat adalah di Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
-- BERNAMA