Penduduk Orang Asli serah memorandum, dakwa akan diusir keluar kampung
Abd Razak Mohd Ali
Mac 6, 2023 17:00 MYT
Mac 6, 2023 17:00 MYT
IPOH: Seramai 163 penduduk Orang Asli Kampung Sungai Sinju, Simpang Pulai dekat sini, mendakwa bakal kehilangan tempat tinggal selepas menerima notis pengusiran, bulan lalu.
Sehubungan itu, hari ini mereka menghantar satu memorandum kepada kepada Kerajaan Negeri Perak, memohon campur tangan kerajaan negeri.
Tok Batin, Alang Apok Sitam, 66, mendakwa, penduduk terdiri daripada 42 keluarga diberi tempoh sehingga 30 hari untuk mengosongkan lot-lot tanah berkenaan bagi memberi laluan kerja-kerja penebangan pokok di Hutan Simpan Bukit Kinta.
Menurutnya, mereka menyedari perkara ini setelah terlihat jentera-jentera berat mula memasuki kampung pada 26 September lalu dengan menolak pokok-pokok dalam dusun.
"Bukan sahaja pokok buah-buahan ditolak, hasil hutan seperti buluh, bertam, kayu yang digunakan untuk membina rumah kami turut dimusnahkan," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan Memorandum Aduan Pencerobohan Tanah Adat Orang Asli di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Menurut Alang Apok, penduduk menganggap diri mereka diperlakukan seolah-olah seperti setinggan meskipun telah tinggal di kawasan itu sejak lebih tujuh dekad lalu.
"Surat peguam itu diterima pada 23 Februari lalu dan kami pula dianggap seperti menceroboh tanah yang diduduki nenek moyang kami.
"Projek yang dijalankan tanpa pengetahuan kami itu telah menyulitkan lagi kehidupan penduduk… ke mana lagi kami hendak pindah, inilah satu-satunya penempatan yang kami ada," ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, mereka memohon campur tangan kerajaan negeri untuk membantu penduduk menyelesaikan isu tersebut.
Menurutnya, mereka juga telah mengajukan aduan itu kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Kami turut berharap kerajaan negeri menyemak semula pemberian milik tanah tersebut dengan mengambil kira kebajikan masyarakat suku Temiar ini," tambahnya.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima memorandum tersebut dan akan menyiasat isu berkenaan.