Penduduk mohon perjelas draf RTD, RKK di Janda Baik
Norfarhiza Mohd Atar
Jun 14, 2022 15:18 MYT
Jun 14, 2022 15:18 MYT
BENTONG: Lebih 50 penduduk Kampung Janda Baik di sini hari ini menggesa pihak berkaitan agar memberi penjelasan lebih lanjut mengenai draf Rancangan Daerah Tempatan Bentong (RTD) dan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Janda Baik.
Mereka melahirkan kebimbangan draf RTD dan RKK berkenaan akan 'mencabul' hak penduduk khususnya melibatkan pengambilan tanah serta menjejaskan sumber pendapatan penduduk.
Perkara itu disuarakan pada sidang media yang diadakan di Riverside Janda Baik di sini pagi tadi yang turut melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Young Syefura Othman.
Seorang penduduk, Hussin Yusoff, 70, berkata, sebarang bentuk rancangan pembangunan di Janda Baik harus mengambil kira pandangan penduduk kerana ia merupakan kawasan pelancongan.
"Saya telah mengusahakan perniagaan chalet sejak 14 tahun lalu dengan pelaburan mencecah hampir RM1 juta. Sekiranya RKK Janda Baik ini dilaksanakan maka ia akan menjejaskan sumber pendapatan saya.
"Andai berlaku pembangunan di sini maka chalet yang saya usahakan akan musnah malah terdapat chalet-chalet lain yang turut akan terjejas," katanya.
Hussin berkata, sebelum ini Kampung Janda Baik sering menjadi tumpuan pelancong dari kawasan Lembah Klang untuk bercuti dan menginap di 44 chalet sekitar kampung terbabit.
Namun jelasnya, andai berlaku sebarang bentuk pembangunan nescaya akan menjejaskan alam sekitar dan sumber pengairan.
"Adalah diharapkan agar pihak berkaitan prihatin dengan nasib penduduk kawasan Janda Baik dengan mengambil kira pandangan dan cadangan dari penduduk," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak menyifatkan sidang media membabitkan penduduk Kampung Janda Baik itu sebagai 'salah faham'.
Beliau berkata, RTD dan RKK yang ada sekarang merupakan satu draf cadangan dan belum dimuktamadkan.
"Draf ini mungkin boleh jadi draf pertama, kedua, ketiga, keempat dan kelima sebelum kita bentang dan bawa ke jawatankuasa perancang dan mesyuarat Exco sebelum kita membuat keputusan muktamad. Andai ada bantahan kita akan mengulangi semula proses draf berkenaan.
"Penduduk juga perlu tahun sesi pendengaran awam adalah diwartakan dan wajib dibuat sebelum sesuatu projek pembangunan itu dilaksanakan.
"Justeru, kerajaan negeri sedia mendengar keluhan 2,000 penduduk yang membantah RTD dan RKK dalam usaha menjaga kepentingan dan hak bersama khususnya penduduk tempatan," katanya.