Penduduk Maran cadang hutan Bukit Makro dijadikan hutan simpan kekal
Astro Awani
Februari 18, 2022 15:09 MYT
Februari 18, 2022 15:09 MYT
KUANTAN: Kerajaan Pahang disaran bukan sekadar membatalkan lesen pembalakan di hutan Bukit Makro di Maran, malah perlu mewartakan kawasan itu sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK).
Itu permintaan penduduk Maran yang mahu satu jaminan dari Kerajaan Pahang supaya tiada lagi lesen pembalakan dikeluarkan pada masa hadapan bagi memastikan kelestarian alam sekitar.
Bagi seorang suri rumah, Saadiah Md Pilus, tindakan membatalkan lesen pembalakan di hutan Bukit Makro itu satu keputusan tepat dan disambut baik oleh penduduk Maran.
Namun adalah bagus sekiranya diwartakan juga hutan tersebut sebagai HSK bagi menjaga alam sekitar untuk jangka panjang.
"Membatalkan memang bagus sangatlah. Saya kira sebagai warga Maran, memang rasa seronoklah jika dibatalkan... setuju sangat. Kalau terus (diwartakan) jadi hutan simpan lagi bagus. Kita akan sejahtera bila ada kawasan hutan simpan macam ni, jadi jangan ditogelkan," ujarnya.
Bagi pengusaha madu kelulut, Ramli Maarof, langkah mewartakan hutan Bukit Makro sebagai HSK atau menukarkan statusnya kepada hutan tadahan air adalah supaya dapat melindungi fungsi hutan yang begitu penting kepada masyarakat, hidupan liar dan alam sekitar.
Hutan tersebut terlalu hampir dengan petempatan penduduk dan menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong pada setiap hujung minggu dan tidak sesuai untuk dilaksanakan aktiviti pembalakan.
"Saya cadangkan pada kerajaan negeri kalau boleh wartakanlah kawasan Bukit Makro ni, sama ada kawasan tadahan air ataupun kawasan hutan kekal untuk pengunjung melakukan aktiviti hiking. Sekarang ini, majlis dah adakan tempat hiking untuk pengunjung. Pengunjung makin bertambah setiap hari terutamanya hari Sabtu dan Ahad," katanya.
Ramli juga memberitahu, kawasan hutan Bukit Makro itu juga menjadi sumber air semula jadi yang boleh digunakan oleh penduduk di Maran sekiranya bekalan air terputus.
Seorang lagi penduduk, Mohd Zamberi Mohd Sham, juga mahu Kerajaan Pahang menggazetkan hutan Bukit Makro sebagai HSK sebagai jaminan kawasan tersebut tidak boleh diterokai mana-mana pihak selepas ini.
Katanya, jika kawasan hutan tersebut tidak ditukar statusnya, tidak mustahil kegiatan sama akan berulang pada masa akan datang.
Bagi Mohd Zamberi, penduduk Maran tidak mahu kemusnahan dilakukan di sekitar hutan Bukit Makro yang berada di tengah-tengah bandar ini menjadi punca kepada banjir besar.
"Khazanah alam itu lebih menguntungkan rakyat... lebih memberi manfaat kepada daerah Maran yang tidak ada pusat pelancongan yang yang betul-betul berdaya maju. Untuk menarik pelancong dan memajukan Bukit Makro adalah salah satu agenda pelancongan Negeri Pahang sepatutnya, tapi Alhamdullillah ini telahpun dirintis oleh Majlis Daerah Maran dan rakyat. Orang Maran menyokong apa yang dibuat oleh Majlis Daerah Maran," kata peniaga itu.
Pada Rabu lalu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Mohd Hizamri Mohd Yasin memaklumkan lesen pembalakan di kawasan hutan berhampiran Bukit Makro, Maran dibatalkan dan segala aktiviti pra pembalakan di kawasan itu turut dihentikan.
Katanya, kelulusan yang diberikan kepada Amanah Saham Pahang (Aspa) melibatkan kawasan seluas 40.47 hektar itu dibatalkan pada 17 Januari lalu.