Penduduk Malaysia digelar 'Michael Jordan of Scrabble'

Bernama
Ogos 14, 2014 21:36 MYT
Kejohanan itu, yang disertai pemain handalan dari seluruh dunia, bermula pada Ahad dan berakhir hari ini - Gambar Fail
Seorang penduduk Malaysia warganegara Australia, yang dianggap sebagai 'Michael Jordan of Scrabble', berazam meraih gelaran juara buat kali keenam pada Kejohanan Scrable Kebangsaan Ke-25 di New York, lapor Australian Associated Press (AAP).
Kejohanan itu, yang disertai pemain handalan dari seluruh dunia, bermula pada Ahad dan berakhir hari ini dengan 525 pemain dari 11 negara beradu kehebatan untuk merebut hadiah utama sebanyak US$10,000.
Apabila selesai pertandingan, setiap pemain dalam lima bahagian telah menyertai 31 perlawanan keseluruhannya dengan pemberian ranking dibuat berdasarkan rekod kalah-menang dan jumlah mata mengatasi lawan.
Peserta yang paling digeruni ialah juara lima kali Australia dan pemenang empat kejohanan itu sebelum ini, Nigel Richards, yang tinggal di Malaysia.
Will Anderson, pengarang dari Croton-on-Hudson, pula berharap dapat memberi cabaran sengit setelah menduduki tempat ketiga tahun lepas.
"Beliau (Richards) umpama Michael Jordan dalam permainan kami.
"Beliau ada kelas tersendiri dan kemampuannya menguasai kamus adalah sungguh luar biasa...kami kagum dengan lelaki ini," kata Anderson seperti yang dilaporkan AAP.
Kejohanan itu bermula beberapa hari selepas pengumuman bahawa 5,000 perkataan baharu ditambah ke dalam Kamus Rasmi Pemain Scrabble, namun para pemain tidak dibenarkan menggunakan perkataan itu sehingga selepas kejohanan tahun ini.
#Michael Jordan #New York #scrabble
;