Penduduk mahu Felcra hentikan operasi ladang sawit Skim Sekuau
Bernama
Jun 18, 2022 09:30 MYT
Jun 18, 2022 09:30 MYT
SIBU: Majlis Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Skim Sekuau telah menuntut Felcra Berhad untuk menghentikan operasi ladang kelapa sawitnya di penempatan itu dan membayar dividen kepada peserta dalam masa tujuh hari bermula hari ini.
Pengerusi majlis itu Henry Kanyan Vincent Rawing berkata ini berikutan kegagalan syarikat milik penuh kerajaan pusat itu membayar dividen kepada 404 peserta dari 24 rumah panjang di kawasan penempatan semula itu.
Skim penempatan itu yang terletak 47km dari sini diwujudkan di bawah Pemerintahan Keselamatan Kawasan Rajang (Rascom) pada 26 Mac 1972 bagi menentang aktiviti komunis pada waktu itu.
Beliau mendakwa sejak memulakan operasinya lebih kurang 25 tahun lalu di kawasan itu, Felcra hanya membayar dividen sebanyak empat kali kepada peserta terlibat.
"Felcra bahkan gagal membawa sebarang bentuk pembangunan ke kawasan Sekuau dan meningkatkan taraf ekonomi penduduk di Sekuau mahupun melaksanakan tanggungjawab sosial korporat sebagaimana yang dijanjikan dahulu," katanya pada sidang media yang turut dihadiri ketua-ketua rumah panjang yang terlibat.
Satu laporan polis juga telah dibuat terhadap pihak pengurusan Felcra di Balai Polis Stapang semalam oleh seorang ketua rumah panjang, Tuai Rumah Labang Ayom yang mewakili 25 rakan sejawatnya bagi membolehkan siasatan dilakukan oleh pihak polis, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak.
"Kami tidak mahu berunding kerana sudah banyak rundingan dilakukan sebelum ini, yang semuanya tidak mendatangkan apa-apa keputusan. Tahun lepas sahaja enam rundingan telah dilakukan," tegas Henry.
Beliau mendakwa Felcra memberikan alasan tidak membayar dividen kerana tiada keuntungan, dibebani hutang pembangunan, tidak mempunyai pekerja untuk menuai buah sawit segar dan tiada sebarang perjanjian dengan penduduk terlibat bahawa ia perlu membayar dividen kepada mereka.
"Itu bukan masalah kami. Apa yang kami tahu kami telah menyerahkan tanah untuk dibangunkan dan atas alasan tiadanya perjanjian antara kami dengan Felcra, maka Felcra perlu menghentikan operasi dengan serta-merta," katanya.
Felcra dijadual membuat penanaman semula kelapa sawit di Sekuau pada tahun depan di kawasan tanah seluas 900 hektar.
Beliau berkata hasil pertanyaan dengan pihak Jabatan Tanah dan Survei Sarawak mendapati tanah-tanah terlibat adalah milik rakyat di Sekuau dan jabatan itu tiada rekod bahawa Felcra menjalankan operasi perladangan kelapa sawit di situ.
Henry yang juga ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu menambah jika pihak Felcra tidak menghentikan operasinya maka peserta terlibat akan melakukan demonstrasi bantahan.
-- BERNAMA