Penduduk Lot 9714 Jinjang Selatan tambahan mahu pampasan sewajarnya

Bernama
September 12, 2016 19:38 MYT
Penduduk kawasan perumahan Lot 9713 Jinjang Selatan Tambahan menuntut supaya diberi pampasan sewajarnya oleh syarikat pemaju dan DBKl sebelum diarah mengosongkan tapak sedia ada bagi tujuan pembangunan. - Foto Bernama
Penduduk kawasan perumahan Lot 9714 Jinjang Selatan Tambahan mahu syarikat pemaju dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi pampasan sewajarnya untuk mereka berpindah dari kawasan tersebut bagi tujuan pembangunan.
Pengerusi Persatuan Pembangunan Sosial Jinjang Selatan Tambahan S.P. Karuppiah berkata sebanyak 525 penduduk lot kawasan itu telah menerima surat tiga minggu lepas daripada DBKL untuk mengosongkan kawasan itu sebelum minggu ini.
"Jumlah pampasan yang dijanjikan dalam surat pengosongan tapak itu tidak mencukupi, iaitu sewa sementara sebanyak RM600 sebulan sehingga rumah tinggal tetap siap dibina dan sagu hati perpindahan sebanyak RM1,000.
"Kami mahu sewa dinaikkan kepada minimum RM900 dan sagu hati perpindahan dinaikkan kepada minimum RM3,000 kerana kos sara hidup tinggi dan dengan RM600 kami tidak mampu dan dapat menyewa sebuah rumah untuk sebuah keluarga di kawasan ibu kota," katanya pada sidang berita di sini, hari ini.
Turut hadir Anggota Lembaga DBKL yang juga Pengerusi Biro Aduan Gerakan Datuk Wilson Lau Hoi Keong.
Karuppiah berkata kebanyakan mereka yang tinggal di kawasan perumahan tersebut pernah memiliki lot Lesen Menduduki Sementara (TOL) sejak dipindahkan dari Batu Caves, Kepong dan Jalan Ipoh pada tahun 1967.
"Pada tahun 1973, lot perumahan 9714 itu telah menjadi kawasan perumahan di bawah pejabat Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan penduduk-penduduknya perlu membayar cukai tanah dan cukai pintu setiap tahun," katanya.
Beliau berkata DBKL dan syarikat pemaju perlu memberi pampasan sewajarnya supaya setimpal dengan cukai pintu dan tanah yang dibayar oleh penduduk kawasan itu lebih 40 tahun.
Para penduduk sejak mengetahui projek pembangunan akan dijalankan di kawasan itu pada 2013 telah mengadakan pelbagai bantahan kepada syarikat pemaju dan DBKL, selain membangkitkan isu pampasan melalui sesi dialog, katanya.
Sementara itu, Lau berkata satu memorandum akan dihantar oleh Persatuan Pembangunan Sosial Jinjang Selatan Tambahan kepada Jabatan Perancangan Ekonomi dan Pembangunan DBKL mengenai perkara itu Selasa ini (13 Sept).
Katanya, hak penduduk-penduduk yang telah menetap selama lebih 40 tahun itu harus dibela dan diberikan pampasan sewajarnya sekiranya pihak pemaju dan DBKL mahu mengambil alih tapak sedia ada untuk dibangunkan.
#DBKL #Jinjang Selatan #notis pengosongan #penduduk tuntut pampasan
;