Penduduk Lembah Klang lega masalah air beransur pulih

Faida Rahim
Julai 24, 2024 17:15 MYT
Penduduk Segambut Bahagia, Hamiah Amat, meluahkan rasa syukur selepas masalah gangguan air dialami sejak semalam berakhir sekali gus memudahkannya menjalani aktiviti harian. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Segambut Bahagia lega apabila masalah gangguan bekalan air telah selesai apabila bekalan air mula disalurkan sejak jam 8 pagi hari ini.
Salah seorang penduduk Hamiah Amat meluahkan rasa syukur selepas masalah gangguan air dialami sejak petang semalam (Selasa, 23 Julai) berakhir sekali gus memudahkannya menjalani aktiviti harian.
“Semalam kira-kira jam 3 petang, saya tengah nak ambil air wudhu. Tiba-tiba air pili dah tak keluar. Saya terus hubungi anak, dia pula di pejabat waktu itu.
“Mujur dalam jam 12 tengah malam tadi, sebuah lori tangki air berhenti depan rumah. Dapat kami anak beranak tampung air untuk hari ini.
“Alhamdulillah sekitar 8 pagi tadi, bekalan air sudah ada seperti biasa. Dapat saya memasak untuk anak anak hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, penghuni Kolej Kediaman Adibah Amin Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Nur Syazana Abdul Talib memberitahu dia dan rakan rakan gembira melihat lori tangki air datang membawa bantuan air tengah hari ini.
“Sejak semalam kami terputus bekalan air. Mujur saya tinggal di tingkat satu dan bukan di tingkat lima. Kalau tidak, lenguh tangan nak mengangkat baldi air.
“Saya berharap gangguan bekalan air ini selesai secepat mungkin. Mujur juga hari ini saya tiada kelas. Dapat saya mengangkut air dari bawah sampai ke bilik air di atas,” katanya.
Gangguan bekalan air di tujuh daerah akibat pencemaran bau yang dikesan di Sungai Kundang dan Sungai Sembah di Selangor pulih sebanyak 14.3 peratus setakat 9 pagi tadi.
Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan peratusan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas dijangka mencapai kira-kira 40 peratus pada 8 pagi esok dan 90 peratus pada 8 malam.
Menurut kenyataan itu, tempoh masa pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung pada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.
Air Selangor juga meminta pengguna supaya tidak bimbang sekiranya bekalan air yang diterima berwarna kerana situasi itu lazim berlaku semasa bekalan air terputus disebabkan oleh gangguan bekalan air berjadual atau tidak berjadual.
#masalah air #Lembah Klang #Segambut bahagia #Air Selangor
;