Penduduk Kuala Perlis berpesta sambut fenomena air pasang besar

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 19, 2024 08:45 MYT
Orang ramai mengharungi air pasang besar di sebuah penempatan di Kuala Perlis. - Gambar Astro AWANI
KUALA PERLIS: Fenomena air pasang besar yang melanda mengubah suasana malam apabila lebih 2,000 penduduk di Kuala Perlis, di sini, seperti berada di dalam taman tema air mengambil kesempatan berpesta.
Air pasang besar yang mencapai tahap tertingginya iaitu 3.7 meter (m) mulai melanda lima buah kampung di Seberang Ramai, Kuala Perlis sekitar jam 11.30 malam sebelum air laut memenuhi keseluruhan kawasan kampung sejam selepas itu.
Situasi itu juga menyebabkan 1,577 kediaman di Kampung Pulau Ketam, Kampung Seberang Ramai, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Tengah dan Kampung Seberang Tok Pi terjejas apabila air memenuhi segenap penjuru rumah.
Fenomena yang berlaku itu bagainapun disambut bagaikan pesta air apabila kawasan Dataran Semarak Kampung Tengah, Seberang Ramai dipenuhi dengan bukan sahaja warga kampung yang terjejas tetapi penduduk dari luar kawasan Seberang Ramai yang ingin melihat kemeriahan pesta air yang berlaku di kampung itu akibat fenomena yang jarang berlaku ini.
Orang ramai dari kanak-kanak hingga dewasa dilihat bermandi manda, bergurau senda dan tidak kurang juga ada yang mengambil kesempatan untuk berpiknik tatkala air mulai memenuhi ruang dataran berkenaan tanpa mempedulikan keselamatan yang ada.
Penduduk yang ditemui berkata, situasi fenomena air pasang besar yang berlaku di kawasan itu agak berbeza daripada sebelum ini kerana mereka sudah awal lagi melakukan persiapan dengan mengalihkan barangan dan dokumen penting ke tempat yang tinggi dan selamat dari jangkauan air banjir selepas dimaklumkan oleh pihak berkuasa.
Seorang penduduk, Siti Zaharah Md Yatim, 40, berkata, dia awal-awal lagi sudah membawa ayahnya berpindah ke rumah saudara mereka di Changlun sementara dia terus menanti di rumah untuk mengurus dan memantau keadaan.
“Fenomena air pasang besar kali ini agak berbeza kerana kita dapat membuat persiapan awal selepas dimaklumkan oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa terlebih dahulu.
“Ini berbeza dari tahun terdahulu apabila kita tidak dimaklumkan menyebabkan banyak barangan kelengkapan kita seperti peti sejuk dan barangan elektrik yang lain rosak kerana kita tidak sempat untuk mengalihkannya ke tempat yang lebih selamat.
“Kawasan ini berhampiran dengan laut dan kemasukan air begitu cepat dan deras, tahu-tahu sahaja banjir sudah memenuhi halaman rumah kita,” katanya.
Bagi seorang pengusaha kedai makan di Dataran Semarak, Kampung Tengah, Seberang Ramai, Zarina Kassim, 52, fenomena air pasang besar ini sudah banyak kali berlaku di kawasan niaganya dan kali terakhir adalah pada September lalu ketika Perlis dilanda banjir.
“Sudah banyak kali berlaku, saban tahun dan kita pun sudah jadi terbiasa dengan keadaan ini disebabkan kawasan ini yang paling teruk dinaiki air dan disebabkan itu kita sudah pun bersiap sedia dengan meletakkan barangan penting di tempat yang selamat.
“Malah, walaupun saya membuka kedai hingga lewat malam tetapi situasi yang berlaku menyebabkan saya tidak boleh berniaga dan jika lazimnya saya boleh mendapat pendapatan katakan RM1,000 namun untuk situasi ini, saya hanya mendapat sekitar RM500 sahaja,” katanya.
Seorang pengunjung, Amran Mat Kasa, 55 dari Taman Sejahtera, Kuala Perlis berkata, dia sengaja datang ke situ kerana mahu melihat kemeriahan dek kedatangan fenomena itu.
“Saya sampai sekitar jam 12 tengah malam dan saya lihat tempat ini meriah dengan orang ramai termasuk penduduk di kampung ini yang bermandi manda di sana sini dan disebabkan fenomena ini berlaku pada cuaca baik maka saya pun mahu ikut serta lihat kemeriahan yang ada ini.
“Namun begitu, saya tetap tidak berani untuk meneroka lebih jauh kawasan kampung ini yang dilanda banjir kerana tahu sahajalah, kita bukannya tahu dimana letaknya longkang, parit dan sebagainya, tambahan pula keadaan gelap jadi saya keselamatan perlu dijaga juga,” katanya.
Sementara itu, mangsa banjir akibat fenomena air pasang besar yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis dan Sekolah Kebangsaan (SIK) Seberang Ramai masih lagi 47 orang daripada 17 keluarga yang kebanyakkan tinggal di Kampung Baru Kuala Perlis dan Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis.
#Kuala Perlis #air pasang besar #pesta air #banjir
;