Penduduk Kuala Kedah gempar jumpa tulang manusia terendam

Astro Awani
Oktober 22, 2015 11:00 MYT
Penduduk Kuala Kedah gempar apabila menemui sejumlah tulang manusia terendam di dalam lumpur di Sungai Seberang Kota. - Foto Astro AWANI
Penduduk di Kuala Kedah gempar apabila menemui sejumlah tulang manusia terendam di dalam lumpur di Sungai Seberang Kota di sini lewat petang Rabu.
Tulang berkenaan dipercayai timbul selepas air sungai surut sejak sebulan lalu.
Penduduk mendakwa ia kesan daripada projek pelebaran sungai itu untuk dijadikan jeti pendaratan ikan.
Tulang berkenaan dipercayai milik jasad orang Islam dari tanah perkuburan Islam lama dekat Seberang Kota yang tidak di selenggara dengan baik.
Tanah perkuburan Islam seluas satu hektar itu dikatakan berada dalam projek pelebaran sungai tersebut.
Bagaimanapun apa yang dikesalkan ia didakwa tidak mengikut prosedur yang betul dengan mendapatkan kelulusan Majlis Agama Islam Kedah, MAIK.
Penduduk juga mendakwa pernah menghalang kontraktor terlibat namun tidak diendahkan.
Tanah perkuburan hampir sepuluh generasi itu didakwa tidak di uruskan dengan betul meskipun pelbagai aduan telah dibuat pada Majlis Daerah Kota Setar, MBAS dan MAIK.
Dalam pada itu pihak MAIK yang ditemui memaklumkan akan menyiasat dakwaan berkenaan.
#Islam #Kuala Kedah #MAIK #perkuburan #tulang
;