Penduduk Kuala Kedah bimbang fenomena air pasang tengah malam ini lebih tinggi

Adie Sufian Zulkefli
November 5, 2021 16:24 MYT
Tinjauan Astro AWANI di sekitar Seberang Kota dan Kuala Kedah mendapati, air pasang berlaku bermula jam 12 tengah hari tadi menyebabkan pelantar ikan dan kedai makan di kawasan itu ditenggelami air.
ALOR SETAR: Penduduk di sekitar pantai di Kuala Kedah bimbang berlakunya fenomena air pasang besar yang dijangka menyebabkan ombak setinggi 3.1 meter berlaku tengah malam ini.
Tinjauan Astro AWANI di sekitar Seberang Kota dan Kuala Kedah mendapati, air pasang berlaku bermula jam 12 tengah hari tadi menyebabkan pelantar ikan dan kedai makan di kawasan itu ditenggelami air.
Menurut peniaga ikan, Ahmad Hashim, 74, fenomena air pasang yang berlaku sejak tengah malam tadi adalah yang terburuk setakat ini sepanjang dia menetap di kawasan itu.
Katanya, banyak rumah berhampiran pantai dan muara dimasuki air sehingga mencecah 0.3 meter sebelum surut sepenuhnya selepas sejam kemudian.
Ahmad berkata, mereka dimaklumkan air pasang besar yang menyebabkan ombak melebihi tiga meter dijangka berlaku tengah malam ini dan perkara itu amat membimbangkan.
Justeru, dia bersama beberapa peniaga sudah bersedia dengan mengalihkan tong simpanan ikan ke tempat tinggi kerana bimbang dihanyutkan air laut seperti kejadian malam tadi.
Seorang lagi peniaga Salimah Mansor, 53, berkata, fenomena air pasang turut menyebabkan harga ikan naik sehingga RM10 berbanding RM5 sekilo disebabkan nelayan bimbang ke laut.
Ini kerana, kata Salimah, tiada siapa yang boleh menjangka keadaan ombak di tengah laut ketika fenomena air pasang selain boleh mendatangkan bahaya kepada nelayan bot kecil.
Menurutnya, air pasang itu turut memasuki ke dalam rumahnya yang terletak tidak jauh dari pasar tempat dia berniaga.
“Saya kena kena balik untuk kemaskan perkakas di rumah sebab bimbang air masuk dan tak sempat untuk selamatkan beras dan lain-lain.
“Selama 45 tahun saya tinggal di sini belum pernah air masuk, kali ini yang terjadi,” jelas Salimah.
Dalam masa sama, penduduk yang tinggal berdekatan pantai di Kuala Kedah turut mengakui fenomena kali ini lebih teruk berbanding sebelum ini.
Rata-rata daripada mereka berkata, air naik begitu pantas ke dalam rumah sehingga ramai yang tidak sempat mengalihkan atau menyelamatkan barangan kelengkapan.
“Semalam air naik secara mengejut, kami tak sempat nak buat apa-apa. Habis beras tenggelam, tak pernah lagi seumur umur saya selama 60 tahun tengok paras air naik setinggi ini masuk ke dalam rumah,” kata seorang lagi penduduk, Misnurita Putih.
Bagi Irwandi Zabidi pula, dia sekeluarga sangat terkejut kerana tidak menyangka fenomena air pasang yang berlaku telah menghanyutkan kelengkapan kediaman termasuk televisyen yang gagal diselamatkan.
Sehubungan itu, penduduk di situ sudah melakukan persediaan lebih awal dengan mengalihkan barangan ke tempat lebih tinggi.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, fenomena air pasang besar yang berlaku tengah hari tadi mangakibatkan paras ombak setinggi 2.7 meter.
Beliau berkata, anggota bomba turut membuat pemantauan fenomena air pasang besar di Pantai Murni dan Kuala Sungai Udang di Yan serta Pandai Merdeka di Kota Kuala Muda.
Sehubungan itu, pihaknya bersedia menghantar bantuan memindahkan mangsa sekiranya ada rumah ditenggelami air dan ada penduduk yang terperangkap dalam banjir.
#fenomena air pasang #banjir #Kuala Kedah #ombak tiga meter
;