Penduduk Kg Chendering gempar temui mayat dalam lombong

Noraniza Kamsani
Januari 11, 2020 13:53 MYT
Mayat ditemui di permukaan air dengan lengkap berpakaian pada jarak kira-kira 10 meter daripada tebing. - Foto ihsan JBPM
Penduduk Kampung Chendering di sini gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki di dalam sebuah lombong berdekatan kampung berkenaan hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, mayat tanpa identiti ditemui oleh seorang lelaki berusia 45 tahun yang kebetulan berada di kawasan lombong kira-kira jam 11 pagi.
"Mayat berkenaan ditemui dalam keadaan terlentang di permukaan air dengan lengkap berpakaian pada jarak kira-kira 10 meter daripada tebing.
"Pihak bomba terpaksa dipanggil untuk membantu membawa mangsa naik ke tebing lombong," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, ketika ditemui, mangsa berpakaian lengkap dengan seluar gelap dan memakai baju biru.
"Pemeriksaan ke atas mangsa juga mendapati tiada sebarang kecederaan dan tiada unsur-unsur jenayah.
"Orang ramai yang berada dilokasi dan penduduk setempat yang berada berhampiran tidak mengenali mangsa dan dipercayai bukan penduduk setempat," katanya.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.
#Hospital Tengku Ampuan Afzan #Kampung Chendering #mayat dalam lombong #Polis Daerah Kuantan