Penduduk kesal kubur lama dipindah tanpa tertib, batu nisan berselerak
Muhafandi Muhamad
Disember 9, 2018 13:48 MYT
Disember 9, 2018 13:48 MYT
Proses penyelenggaraan dan pemindahan tanah perkuburan lama di Jalan Gajah Mati, Kota Bharu menimbulkan keresahan dalam kalangan orang ramai apabila mendakwa proses berkenaan tidak dilakukan dengan sempurna hingga menyebabkan banyak batu nisan berselerak.
Tanah perkuburan Islam yang menempatkan lebih 200 kubur itu dikenali sebagai Langgar Burok dan dipercayai wujud sejak lebih 700 tahun lalu. Ia turut menempatkan banyak makam kerabat diraja, pembesar dan ulama Islam.
Difahamkan, proses perataan tanah seluas kira-kira 0.57 hektar itu dibuat kerana berpotensi untuk dimajukan dan tanah perkuburan itu tidak sesuai lagi digunakan semula kerana berada di zon ekonomi dan di tengah pusat bandar.
Generasi ke-10 seorang pembesar Kelantan, Nik Mohd Nasir Nik Harun, berkata makam moyangnya, Long Bahar berada di tanah perkuburan itu bersama tiga lagi tokoh lain iaitu Raja Pah, Long Deraman, serta seorang ulama dari Acheh.
Menurutnya, keluarganya bersedia menyediakan tapak baharu untuk pemindahan makam moyangnya, namun berharap agar ia dilakukan mengikut adat dan kaedah yang ditetapkan oleh Islam.
“Saya ni kalau ikut tu, generasi ke-10 lebih, tapi kita masih berpegang lagi.. bab makam Raja Long Ghaffar di Limbat pun kita caranya.
“Ikut pada perbincangan semalam, kita boleh menyediakan tempat. (Cara) pengurusan jenazah tu, bawa pergi belindan dulu, selepas itu barulah pindah jenazah. Uruskan dengan adat dan adab yang betul,” katanya.
Difahamkan, kubur di kawasan itu dipindahkan ke beberapa tanah perkuburan di sekitar Kota Bharu namun tidak dapat dipastikan sama ada perpindahan itu membabitkan kesemua 200 kubur itu atau tidak.
Sementara itu, Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri Kelantan, Che Ibrahim Muhammad, berkata proses pengambilalihan tanah perkuburan lama itu tidak mengambil kira sentimen umat Islam.
“Apa yang kita rasa terkilan adalah, proses istibdal ini dibuat dalam suasana tidak mengambil kira sentimen masyarakat.
“Walaupun mungkin pada pandangan pemaju, batu-batu nisan yang kita lihat bertaburan itu tidak ada nilai komersial dan tidak boleh memberi apa-apa sumbangan kepada pembangunan ekonomi, tetapi dari sudut sensitiviti masyarakat Islam, jiwa mereka tentunya akan terusik dan agak sedih melihat kubur yang sudah berusia ratusan tahun diselongkar dan dimusnahkan semata-mata untuk tujuan pembangunan,” ujarnya.
Beliau juga berharap agar tanah perkuburan lama itu dikekalkan dan dijadikan khazanah warisan negeri, memandangkan ia menempatkan banyak kubur tokoh-tokoh penting dalam sejarah Kelantan kuno.