Penduduk Kepala Batas lega CLQ tidak diteruskan - Reezal

Bernama
Ogos 5, 2022 08:50 MYT
REEZAL MERICAN: Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pemaju kerana telah mendengar pandangan, juga bantahan pimpinan tempatan dan penduduk setempat terhadap cadangan projek Kuarters Pekerja Berpusat tersebut. -Gambar fail/Bernama
GEORGE TOWN: Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada Khamis mengucapkan terima kasih kepada pemaju dan kerajaan Pulau Pinang berikutan keputusan tidak meneruskan cadangan pembangunan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) di kawasan itu.
Reezal Merican yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata penduduk di kawasan Bertam, Kepala Batas boleh berasa lega berikutan keputusan pemaju projek Taman Teknologi Pulau Pinang bersetuju untuk tidak meneruskan cadangan pembangunan CLQ.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pemaju kerana telah mendengar pandangan, juga bantahan pimpinan tempatan dan penduduk setempat terhadap cadangan projek Kuarters Pekerja Berpusat tersebut.
"Terima kasih juga kepada pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah memudah cara, mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh dan mengambil kira bantahan dikemukakan oleh penduduk setempat dan pimpinan tempatan terhadap cadangan projek ini," katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya pada Khamis.
Reezal Merican berkata pihaknya akan terus memantau dengan teliti cadangan pembangunan dalam kawasan Parlimen yang diwakilinya bagi memastikan kesejahteraan hidup penduduknya sentiasa terjamin, selamat dan Kepala Batas kekal menjadi kawasan menarik dan berdaya huni.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman telah mengumumkan cadangan membina CLQ di Taman Perindustrian Pulau Pinang yang terletak di Bertam, Kepala Batas tidak akan diteruskan setelah mengambil kira pandangan pihak berkepentingan.
Sebelum ini, penduduk di 10 taman perumahan berhampiran projek tersebut mengadakan bantahan aman bagi menolak cadangan pembangunan CLQ di situ yang akan menempatkan ribuan pekerja asing dan mencadangkan pembinaan itu dipindahkan ke kawasan Ara Kuda, Tasek Gelugor, tidak jauh dari situ.
-- BERNAMA
#Reezal Merican Naina Merican #CLQ #Kuarters Pekerja Berpusat #Taman Teknologi Pulau Pinang
;