Penduduk kecewa enam kali banjir kilat dalam tempoh lima bulan

Adie Sufian Zulkefli
Jun 1, 2020 10:47 MYT
Penduduk kecewa masalah banjir kilat lebih empat tahun tidak diselesaikan pihak berwajib. Gambar Astro AWANI
Enam kali banjir kilat dalam tempoh lima bulan bukan hanya sekadar meletihkan penduduk, namun menyebabkan mereka mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit.
Itu keadaan yang dihadapi lebih 30 keluarga di Kampung Ganding, Alor mengkudu, Alor Setar, yang rumah mereka dinaiki air hampir setiap kali hujan lebat melebihi dua jam.
Terbaharu, pada malam Ahad banjir kilat mencecah kedalaman hampir semeter melanda kawasan itu.
Seorang pemilik rumah, Zainal Abidin Mustafa, 54, mendakwa masalah itu bermula sejak tahun 2016 dipercayai berpunca daripada projek pembinaan jalan berhampiran kawasan berkenaan.
"Sistem peparitan yang kecil dan tidak diselenggara dengan baik kemudian menyebabkan masalah banjir kilat di kawasan ini berterusan dan menjadi lebih buruk beberapa bulan kebelakangan ini.
"Kejadian malam tadi (Ahad) adalah paling teruk apabila air naik hampir semeter. Sampai bila kami perlu hadapi keadaan seperti ini, kami mohon sangat pihak berwajib beri perhatian.
"Kami bukan minta wang, cuma selesaikan masalah kami termasuk selenggara sistem perparitan dengan sempurna," katanya di sini, pada Isnin.
Sementara itu, pemilik bengkel di kawasan itu, Irwan Mohd Noor, 42, mendakwa dia trauma setiap kali hujan lebat.
"Saya terpaksa mengalihkan motosikal dan peralatan membaiki motosikal ke tempat lebih tinggi setiap kali hujan lebat kerana bimbang air naik.
"Setiap kali banjir kilat, air masuk ke dalam bengkel... habis semua barang yang tidak sempat dialihkan rosak.
"Lama sangat masalah ini berlarutan. Pihak berwajib perlu kenal pasti punca masalah dan selesaikan. Kalau perlu dalamkan longkang atau naik taraf sistem perparitan, buatlah segera," katanya
Sementara itu, Mohd Fahmi Mohd Fauzi, 43, berharap pihak berwajib mendengar rintihan penduduk dan segera melakukan kerja pengorekan longkang yang tersumbat supaya air dapat mengalir dengan lancar.
Dakwanya, beliau telah mengemukakan permasalahan itu kepada wakil rakyat serta pihak berkuasa tempatan (PBT) namun ia ibarat ‘mencurah air ke daun keladi’.
"Saya selaku wakil penduduk ingin beritahu kepada pihak berwajib supaya ambil perhatian masalah ini. Ini adalah perkara serius sebab setiap kali hujan lebat banjir kilat akan berlaku.
"Tindakan segera yang berkesan perlu diambil," katanya.
#air naik #alor mengkudu #Alor Setar #banjir #banjir kilat #Kampung Ganding #letih #longkang #parit #pbt #rumah dimasuki air #tindakan #wakil rakyat
;