Penduduk kawasan terjejas kemarau mahu air minuman berbotol dijual di PJR

Bernama
Mac 24, 2024 17:45 MYT
Ada penduduk terpaksa berbelanja antara RM80 hingga RM100 seminggu bagi membeli air minuman berbotol untuk tujuan masakan dan minuman. - Gambar hiasan
PAPAR: Penduduk yang mengunjungi Program Jualan Rahmah (PJR) di Papar dan Kota Kinabalu memohon supaya air minuman berbotol dijual pada program itu di kawasan yang terjejas dengan kemarau dan kekurangan bekalan air.
Suri rumah Dayang Fatimah Saripuddin, 49, berkata langkah itu penting bagi membantu penduduk yang kurang mampu berikutan mereka terpaksa berbelanja antara RM80 hingga RM100 seminggu bagi membeli air minuman berbotol untuk tujuan masakan dan minuman.
"Memang agak membebankan kerana suami kerja bengkel sahaja, kebanyakan kami di Papar ini juga bukan orang senang tetapi terpaksa juga membeli (air minuman botol) kerana bekalan air amat kurang," katanya ketika ditemui Bernama pada PJR di Tapak Tamu Mingguan Papar.
PJR katanya, telah terbukti berkesan menawarkan harga barangan keperluan lebih murah berbanding pasaran hingga 30 peratus, justeru amat sesuai air minuman berbotol diletakkan dalam senarai jualan berikutan ia menjadi keperluan utama penduduk di kawasan itu pada masa ini.
Pada 13 Mac lepas, Jabatan Pengurusan Bencana Daerah Papar mengisytiharkan Papar, terletak kira-kira 38 kilometer dari Kota Kinabalu, sebagai kawasan bencana kemarau berikutan krisis bekalan air berada pada tahap kritikal akibat cuaca panas melanda kawasan berkenaan.
Bernama pada 15 Mac lepas melaporkan permintaan persatuan pengguna antaranya Barisan Pengguna Sabah (CFOS) dan Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah untuk peniaga serta peruncit tidak menaikkan harga air minuman berbotol berikutan ia menjadi keperluan penduduk masa ini.
Pesara kerajaan Herman Mokti, 64, berkata penjimatan hingga 30 peratus yang boleh dinikmati sekiranya air minuman berbotol dijual di PJR adalah besar.
"Beli satu karton harga RM9 hingga RM12 jimat dalam RM2.70 hingga RM3.60 itu tidak rasa sangatlah tetapi kami yang selalu beli berkarton-karton ini kalau biasa belanjakan RM80 seminggu boleh turunkan kepada RM56 banyak juga jimatnya," katanya yang turut ditemui di PJR itu.
Di KOTA KINABALU, pekerja syarikat pengiklanan Andy Edik Empau, 29, berkata dia terpaksa membeli air minuman berbotol untuk kegunaan memasak dan minuman keluarganya kerana air simpanan dan bekalan air ketika ini tidak begitu bersih.
"Bekalan air sekejap ada sekejap tiada. Bila ada bekalan, air keluar tidak begitu bersih dan perlahan, jadi kita tidak boleh guna untuk memasak atau minum takut anak-anak sakit perut atau kena penyakit lain. Jadi kena beli air botol juga, amat haraplah PJR ada jual kerana ia sudah jadi keperluan," katanya.
Dia yang mengunjungi PJR di Lintas Jaya di Kota Kinabalu berkata dia sekeluarga ada menyimpan air di dalam tong untuk kegunaan ketika bekalan air terputus, namun air itu boleh tercemar jika disimpan terlalu lama dan hanya sesuai digunakan untuk mandi dan mencuci.
Pelajar universiti Emly Nadia Shamsul, 22, berkata selain harga murah, PJR juga dilihat berkesan untuk memastikan bekalan barang keperluan seperti gula dan minyak masak mencukupi untuk disalurkan kepada penduduk, justeru tidak mustahil ia boleh dilakukan untuk air minuman berbotol.
"Sekarang masih ada bekalan tetapi cuaca panas dan kemarau ini berterusan hingga bulan depan jadi bila bekalan air minuman botol semakin dicari ia semakin kurang, rakyat sukar dapat maka sesuai buat persediaan awal untuk PJR dijadikan tempat dapat bekalan ini," katanya yang turut mengunjungi PJR Lintas Jaya.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata cadangan menjual air minuman berbotol di PJR kawasan yang terjejas dengan kemarau dan kekurangan bekalan air ialah sesuatu yang baik.
Justeru, Ahli Parlimen Papar itu berkata pihaknya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana peniaga dan pemborong untuk menjual air minuman berbotol di PJR kawasan terlibat sekiranya keadaan memerlukan.
"Paling penting sekarang kita pantau dahulu harga air minuman berbotol ini sama ada di kedai, pasar raya atau di mana sahaja supaya harganya tidak melambung tinggi sehingga membebankan rakyat. Kita akan lakukan siasatan kemudian tindakan terhadap peniaga yang meletakkan harga tidak munasabah.
"Dalam masa sama, kita mohon juga pengguna supaya melaporkan dengan segera sekiranya mereka menjumpai kejadian kenaikan harga tidak munasabah terhadap air minuman berbotol ini. Kita memahami denyut nadi rakyat dan akan pastikan rakyat tidak terbeban," katanya.
-- BERNAMA
#kemarau #cuaca panas #air minuman #Program Jualan Rahmah
;