Penduduk Kampung Teroi cemas dilanda banjir kilat

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 15, 2023 05:15 MYT
Pemantauan terus dilakukan anggota bomba bagi memastikan penduduk yang terjejas banjir di Kampung Teroi Bukit, Gurun, malam tadi, berada dalam keadaan selamat. - Foto ihsan bomba
GURUN: Hujan lebat sejak lewat petang sehingga malam tadi menyebabkan penghuni di lima rumah di Kampung Teroi Bukit, di sini, cemas selepas rumah mereka dilanda banjir kilat malam tadi.
Air naik dengan pantas memaksa penduduk keluar rumah untuk menyelamatkan diri dan keluarga masing-masing.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Razali berkata, pihaknya menerima panggilan berlaku kejadian banjir kilat pada jam 9.45 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Guar Chempedak yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Awa Suziana Abd Wahid tiba di lokasi bersama 10 anggota tidak lama kemudian.
"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat banjir didapati kawasan itu dinaiki air setinggi 0.8 hingga satu meter, memasuki rumah penduduk.
"Sebanyak lima rumah yang dinaiki air, namun tiada mangsa yang dipindahkan berikutan mereka ingin menunggu air surut," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bagaimanapun Mohd Fauzi berkata, pemantauan terus dilakukan anggotanya bagi memastikan penduduk yang terjejas dalam keadaan selamat.
Katanya, pihaknya akan terus menempatkan anggota bersama aset sehingga air surut sepenuhnya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
#banjir kilat #Gurun #hujan lebat #Balai Bomba dan Penyelamat
;