Penduduk kampung resah Sungai Rui dicemari arsenik

Aida Aziz
April 5, 2019 18:02 MYT
Maklum balas yang diberikan oleh penduduk kampung kepada Astro AWANI juga membayangkan keadaan sungai ini tidak memuaskan, di samping air keruh dan banyak ikan yang mati. - Astro AWANI
Situasi Sungai Rui di Gerik yang dikatakan tercemar dengan arsenik dan berpotensi menyebabkan kanser kulit kepada pengguna sememangnya memberi kesan mendalam kepada penduduk sekitarnya.
Tambahan pula apabila rata-rata penduduk berhampiran sungai itu bergantung harap kepada pulangan hasil ikan loma ketika musim kemuncaknya, yang bermula pada bulan Ogos hingga November setiap tahun.
Pada musim itu, orang ramai yang datang dari pelbagai pelosok negeri akan berkumpul untuk menyertai pesta menyauk ikan loma di Sungai Kuala Rui.
Maklum balas yang diberikan oleh penduduk kampung kepada Astro AWANI juga membayangkan keadaan sungai ini tidak memuaskan, di samping air keruh dan banyak ikan yang mati.
Menurut salah salah seorang penduduk di Kampung Batu 6, Bandariang, Jamaliah Osman, dia peka dengan isu semasa berkenaan sungai tersebut, memandangkan Sungai Rui menjadi sumber pendapatan utama selain menoreh getah.
“Di hujung sungai ini ada lagi kampung-kampung lain. Mungkin orang kampung ini tak kena, jadi mungkin belah sana yang kena.
“Bila ada macam (bangunan) perkilangan ke apa lepaskan air, air (jadi) keruh dan bertompok-tompok macam awan. Kita boleh nampak tompok-tompok tu. Ikan atau biawak memang melampunglah mati,” katanya.
Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu 6, Alwi Johan, berkata situasi semasa begitu ketara.
“Memang betul banyak ikan mati. Kalau boleh kita pulihara baliklah sungai ni, (termasuk) menjaga spesies ikan. Udang galah pun dulu ada, macam-macam ikan ada.
“Orang kampung pun berharap sangatlah kerajaan negeri ambil tindakan lah,” ujarnya.
Astro AWANI turut mendapatkan respons dari pegawai luar Sahabat Alam Malaysia (SAM) Zulkifli Yusuf, yang kebetulan meninjau keadaan semasa Sungai Rui.
Tegasnya, perkara ini wajar diambil serius oleh semua jabatan yang terlibat bagi mengelakkan situasi lebih buruk terjadi, khususnya kepada kesihatan penduduk yang tinggal berhampiran sungai itu.
“Apabila mengetahui bahawa kandungan logam arsenik terdapat dalam air Sungai Rui, kami berasakan ini suatu yang amat serius dan akan memberi kesan yang buruk kepada alam sekitar dan kesihatan manusia.
“Oleh yang demikian, kami berharap pemantauan dan ujian terhadap kualiti air sungai ini dilakukan dari semasa ke semasa dan pendedahan harus dibuat tentang keselamatan penduduk yang menggunakan sungai ini,” ujar Zilkifli.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perak, Noor Azizi Adinan memaklumkan pihaknya telah memantau kualiti air sungai itu dari semasa ke semasa untuk memastikan ia selamat.
Sampel yang diambil sejak tahun 2016 itu turut menunjukkan ada sedikit kehadiran arsenik yang dipercayai berpunca dari aktiviti perlombongan.
Bagi kesan jangka panjang, air yang dicemari dengan arsenik boleh mengakibatkan penyakit kulit, kerosakan otak dan penyakit jantung kepada manusia.
#ancaman #arsenik #kanser kulit #masalah kesihatan #pencemaran #penduduk kampoung #sumber ekonomi #Sungai Kim Kim #Sungai Rui
;