Penduduk Kampung Mesilau gempar runtuhan besar di lereng Gunung Kinabalu
Ruzaini Zulkepli
Oktober 21, 2017 20:40 MYT
Oktober 21, 2017 20:40 MYT
Satu runtuhan besar berlaku di lereng Gunung Kinabalu pada kedudukan 1.5 kilometer berhampiran sebuah resort di Stesen Taman Kinabalu, Mesilau, Kundasang, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.
Menurut Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Lt. Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk di Kampung Masilau berhubung kejadian itu.
"Sepasukan anggota APM Ranau kemudiannya dikerahkan ke lokasi kejadian dan kita mendapati terdapat satu runtuhan di lereng Gunung Kinabalu pada kedudukan 1.5 Kilometer dari Ulu Bekas Resort MNR, Stesen Taman Kinabalu Masilou.
"Namun keadaan di lokasi runtuhan serta aliran sungai berada dalam keadaan yang normal," katanya, dalam kenyataan medianya, hari ini.
Beliau turut meminta orang ramai terutamanya penduduk di Kampung Mesilau tidak panik memandangkan keadaan runtuhan itu masih terkawal.
"Kita akan menyalurkan maklumat terkini mengenai kejadian itu dari semasa ke semasa," katanya.