Penduduk Kampung Melayu Seelong terima air melalui projek Wakaf Air
Astro Awani
Mac 9, 2021 08:48 MYT
Mac 9, 2021 08:48 MYT
KULAI: Tidak dapat digambarkan kesukaran pekebun kelapa sawit yang mengusahakan tanah seluas 8 ekar tanpa air.
Namun itu yang terpaksa dilalui pekebun kelapa sawit, Wakiman Sarno di Kampung Melayu Seelong, di sini.
Sepanjang proses menanam dan membesarkan kelapa sawit, dia hanya bergantung kepada kolam semulajadi di kawasan kebun berbukit tersebut.
Malah untuk mandi serta membasuh pakaian, dia turut menggunakan air yang sama.
Bagi sumber minuman pula, tadahan air hujan yang ditapis merupakan jalan alternatif.
Wakiman, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan di Ulu Tiram selama 18 tahun berkata, dia membeli tanah di kawasan ini bagi mengusahakan sendiri tanaman sawit.
Namun tidak menyangka akan berhadapan masalah air.
Katanya air adalah keperluan asas yang sangat berharga dan perlu dimanfaatkan sebaiknya.
“Air ini sungguh berharga pada saya dan air ini merupakan keperluan asas. Jika tiada air menjadi masalah besar kepada manusia,” katanya kepada Astro AWANI.
Wakiman antara 16 penerima Wakaf Air hasil inisiatif Kementerian Alam Sekitar dan Air.
Sebahagian penduduk kampung yang berusia 30 tahun ini mengalami masalah capaian air berikutan geografinya yang berbukit.
Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kos keseluruhan wakaf bagi 16 rumah berjumlah RM34,776.
Katanya pelaksanaan projek melibatkan penyambungan sistem retikulasi Taman Impian Jaya, Seelong dan ditakung dalam tangki sedutan berkapasiti 500 gelen.
Air ini kemudian dipam ke tangki pengimbang berkapasiti 1,500 gelen sebelum disalurkan ke rumah penduduk kampung
“Penduduk di kampung ini bergantung kepada air takungan dan air bukit dan sebagainya, jadi kita memudahkan sIstem itu. Ada di antara mereka yang tidak pernah ada bekalan air sejak 5 hingga 6 tahun yang lepas,” katanya.
Selain Johor, empat lagi projek perintis Wakaf Air akan memberi manfaat kepada penerima di Selangor (200 penduduk), Perak melibatkan sebuah surau, Pahang (100 penerima) dan Negeri Sembilan (200 penerima).
#wakaf air
#masalah air
#Kampung Melayu Seelong
#Tuan Ibrahim Tuan Man
#Kementerian Alam Sekitar dan Air