Penduduk Kampung Mat Daling bantah pembalakan di kawasan tadahan air
Tan Su Lin
April 11, 2016 15:43 MYT
April 11, 2016 15:43 MYT
Penduduk di Kampung Mat Daling, Ulu Tembeling bergantung kepada sungai untuk sebagai sumber rezeki utama iaitu perikanan.
Mereka gusar akibat kawasan tadahan air yang terjejas, kini kehidupan harian serta sumber pendapatan mereka turut terkesan akibat air Sungai Tembeling yang cetek.
Ini kerana sejak sungai itu menjadi semakin cetek, penduduk mendakwa sumber ikan turut terjejas dan secara tidak langsung menjejaskan sektor pelancongan.
Menurut salah seorang penduduk, Zakaria Serahan, 40, dahulunya sungai berkenaan mempunyai banyak ikan kelah namun kini bilangannya turut merosot.
"Pendapatan hasil tangkapan saya di Sungai Tembeling ini adalah untuk cari ikan kelah iaitu mudik ke hulu Tembeling. Sekarang sungai sudah kering, kebanyakan ikan pun sudah tak ada.
"Sekarang ini hasil pendapatan bawa pelancong terjejas sebab air sungai surut. Sekarang bot-bot tidak dapat naik atas jeram lagi kerana tadahan air kat atas makin lama makin surut," katanya.
Segera hentikan!
Keadaan itu mendesak sekumpulan penduduk dari beberapa perkampungan di Mat Daling menyuarakan bantahan terhadap aktiviti pembalakan di kawasan tadahan air.
Antara mereka adalah, penduduk Kampung Bantal, Zakaria Ismail, 50, yang mahu pembalakan tidak terkawal itu segera dihentikan.
"Sejak berlakunya pembalakan berleluasa kita sudah nampak kesannya. Kita tidak setuju pembalakan kawasan tadahan air kerana sudah habis pokok ditebang," katanya.
Sementara itu, penduduk Kampung Bukit Mat Daling, Maisarah Doll, 42, mahu isu itu ditangani bagi memastikan kelestarian kawasan hutan Tembeling untuk generasi akan datang.
"Selama 42 tahun saya berada di sini inilah situasi paling teruk sekali. Kami di Mat Daling ini umpamanya padang jarak padang terkukur. Gunung-ganang, bukit-bukau semua habis dicukur oleh pihak berkenaan. Saya minta tindakan pihak berwajib tolonglah jenguk kami di sini. Tolonglah bantu kami," katanya.
Jika keadaan ini berterusan, mereka bimbang Sungai Tembeling akan mati akibat kerakusan manusia.
"Sekarang pasir makin banyak. Makin naik, makin tinggi. Dulu pasir tidak tinggi begini, tapi sekarang sudah nak menutup aluran sungai," kata Zakaria.
Harapan mereka adalah kawasan tadahan sedia ada dapat dipelihara demi masa depan anak cucu mereka.
Terletak di mukim Ulu Tembeling, Kampung Mat Daling adalah kampung tradisional Melayu yang terdiri daripada 10 buah perkampungan kecil yang didiami sejumlah kira-kira 700 penduduk kampung.
*Ini adalah siri ketiga laporan khas "Kerakusan Manusia Musnahkan Sungai Tembeling."
**Ikuti siri keempat laporan ini mengenai laluan utama Kampung Mat Daling yang hampir lumpuh akibat sungai cetek.