Penduduk kampung desak tangani pencemaran Sungai Bernam
Abd Razak Mohd Ali
Januari 22, 2020 17:25 MYT
Januari 22, 2020 17:25 MYT
Penduduk Kampung Simpang Empat, dekat sini mendesak Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) mengambil tindakan serius untuk menangani pencemaran Sungai Bernam yang dipercayai berpunca daripada pembinaan saliran dan tangki septik sebuah projek perumahan berhampiran.
Mereka berhimpun secara aman di hadapan bangunan Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) kira-kira jam 9 pagi bagi meluahkan desakan mereka.
Wakil penduduk, Zul Ujang Musa, 57, berkata, masalah pencemaran telah bermula sejak Ogos tahun lalu apabila pemaju membina tangki septik dan menyalurkan air ke hulu sungai.
Menurutnya, kejadian terbaru dilaporkan pada 19 Januari lalu, apabila sungai yang menjadi nadi kehidupan lebih 500 penduduk itu kotor berlumpur dan bertukar kekuningan.
Katanya, Sungai Bernam terkenal dengan keindahan dan kebersihan punca air semulajadi hingga membawa kelestarian kepada kampung berkenaan sebagai destinasi perkelahan dan riadah.
“Kesan pencemaran yang berlaku telah mengakibatkan kehidupan sosial komuniti setempat terjejas terutama pengusaha chalet dan kalangan nelayan darat kesan habitat hidupan akuatik yang terancam,” katanya kepada pemberita sempena lawatan Exco Pendidikan, Sains,Teknologi dan Alam Sekitar Perak, Dr Abdul Aziz Bari pada Rabu.
Beliau berkata, menerusi Jawatankuasa Bertindak Pencemaran Sungai Bernam, pelbagai aduan dan bantahan dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan dan agensi terlibat, namun tiada sebarang tindakan susulan dibuat.
"Kami sudah tidak tahan lagi, ia umpama 'menunggu bencana'. Pihak berkuasa punya kuasa untuk menghentikan projek atau mendakwa sekiranya berlaku ketidakpatuhan syarat, projek ini tidak seharusnya mengganggu kelestarian warisan yang ada," ujarnya.
Beliau yakin, sekiranya pembinaan diteruskan dan longkang tersebut beroperasi sepenuhnya, pencemaran lebih teruk akan berlaku ke atas sungai tersebut.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan termasuk penguatkuasaan yang ketat bagi memastikan isu pencemaran di situ tidak berlarutan.
Menurutnya, pihaknya akan mendapatkan laporan semua agensi khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pejabat daerah berkaitan projek terbabit, sebelum tindakan lanjut dibuat.
"Sekiranya pembuangan sisa projek ini dialirkan terus ke sungai, saya fikir ia tidak sepatutnya berlaku, jadi adalah penting pencegahan dilakukan.
"Kita akan mencari jalan bagi memastikan segala peraturan ditetapkan dipatuhi oleh pihak pemaju kerana kes (seumpama ini) banyak berlaku, jadi kita tidak mahu ia menambahkan lagi senarai,” katanya.